Membesarkan Remaja Istimewa:
Memahami Dunia Kepekaan Deria Penuh Cabaran
Perjuangan Harian Seorang Remaja Istimewa
Jam menunjukan waktu 6:30 a.m. Mary, ibu kepada Jason yang berumur 17 tahun, bangun dan menyiapkan sarapan pagi. Apabila Mary membuka paip air di dapur, tiba-tiba dia terdengar Jason menjerit.
“Kenapa ibu buat bising? Jason tengah tidur!”
Terkejut, Mary cepat-cepat menutup paip. Kemudian dia ke peti sejuk untuk mengambil telur. Ketika Mary menutup pintu peti sejuk, Jason meraung lagi.
“Diam! Kenapa ibu bising lagi? Jason tak boleh tidur balik! Bingit lah!”
Mary mengeluh kepenatan dan duduk seketika. Mindanya menerjah — Bagaimanakah dia boleh sempat untuk menyiapkan sarapan pada 7:00 pagi supaya Jason dapat beredar untuk ke sekolah pada 7:30 pagi? Di dalam hatinya, Mary merasa kesedihan yang berat. Sebelum ini, Jason merupakan seorang anak yang baik hati, tetapi sekarang, kelakuannya telah berubah menjadi tidak wajar dan tidak bersyukur.

Sensitiviti Deria Mewujudkan Tekanan
Senario ini berlaku hampir setiap pagi. Deria pendengaran Jason yang terlalu sensitif mewujudkan tekanan yang tidak putus-putus diantaranya dan ibunya. Bunyi-bunyi yang kecil juga boleh memberi tekanan kepada Jason sehingga tahap hilang kawalan ke atas kelakuannya. Kawalan kendiri telah menjadi cabaran yang besar untuknya.
Tahap kepekaan deria Jason tidak terhad kepada deria pendengaran sahaja, malah, Jason juga terlalu sensitif terhadap bau dan rasa. Dia boleh tahu jika pinggan mangkuk atau baju sudah dibasuh berdasarkan baunya. Jika Mary mengguna cuka untuk membersih, Jason akan merungut tentang bau cuka yang terlalu kuat. Dari segi pemakanan pula, Jason suka makanan yang berperisa kuat dan sering mengkritik masakan Mary yang ringkas.
Tanda-Tanda Awal Senstiviti Deria
Sejak kecil lagi, Jason menunjukan tanda-tanda sensitiviti keterlaluan terhadap isyarat deria berbeza. Contohnya, Jason amat tidak selesa terhadap belon – dia akan menutup telinga dan enggan mendekatinya. Dia akan menangis apabila air disembur menggunakan pancuran mandian (shower head) terus ke atas kepalanya, dan hanya bertahan jika air mandinya dituang secara lembut menggunakan gayung. Pelukan juga membuat Jason tidak selesa.
Walaupun Jason mempunyai sensitiviti deria yang tinggi, pada suatu ketika, dia seorang kanak-kanak yang aktif dan gembira. Dia mempunyai pelbagai idea dan tahu apa sahaja yang dia ingin lakukan. Apabila dia berada di dalam situasi yang tidak selesa – seperti tempat yang sesak dan bising – Jason akan hanya beralih dari tempat tersebut dan tidak meragam.
Jason telah mendapatkan perkhidmatan terapi carakerja jangka pendek untuk menangani kepekaan derianya yang tinggi (sensory defensiveness). Sesi terapi tersebut telah membantu – Jason semakin mesra dan secara beransur-ansur menerima pengalaman deria yang berbeza. Salah satu perubahan yang paling ketara pada Jason adalah kemampuannya untuk berada di dalam bilik yang penuh dengan belon, asalkan dia menutup telinga.
Cabaran Deria Kembali
Walau bagaimanapun, beberapa tahun kemudian, sensitiviti Jason meningkat semula. Dia akan menduduki peperiksaan A-Levels tahun ini. Sebagai seorang pelajar yang rajin, dia belajar bersungguh-sungguh dan sering mengulangkaji sehingga lewat malam. Untuk memastikan dirinya terjaga dan kekal fokus, keinginan Jason terhadap makanan yang berperisa kuat semakin menjadi-jadi. Dia kerap merebus mi segera yang ‘extra’-pedas pada lewat malam demi menambah tenaganya. Walaupun Jason berjaya dalam pembelajarannya, dia menjadi semakin cepat marah. Kejadian harian – bunyi, bau, tempat yang sesak, dan kesesakan jalan— mengganggunya lebih dari dahulu. Jason telah berubah menjadi seorang remaja yang sukar dan kasar dalam pergaulannya. Sehingga satu tahap, kepekaan derianya dan kelakuannya yang kurang elok terikat pada tahap tekanannya yang tinggi.
Memahami Remaja Istimewa dan Cabaran Deria Mereka
Jason adalah salah seorang remaja istimewa yang saya kenali. Seperti yang dihuraikan oleh Lucy Miller, Ph.D., OTR/L, didalam bukunya Sensational Kids: Hope and Help for Children with Sensory Processing Disorder, kanak-kanak istimewa mempunyai tindak balas atipikal terhadap isyarat-isyarat deria. Tindak balas atipikal ini sering memberi kesan terhadap kelakuan dan daya perhatian mereka. Contohnya, seorang kanak-kanak lelaki yang terlalu sensitif terhadap deria sentuhan mungkin akan enggan memakai baju dan tali leher sekolahnya, dan akan memperlihatkan tantrum setiap kali dia harus memakai baju tersebut. Mereka yang tidak memahami kanak-kanak istimewa ini akan menganggap bahawa kanak-kanak lelaki ini sedang memberontak. Begitu juga seorang kanak-kanak yang amat sensitif terhadap bunyi akan senang hilang fokus – sekecil-kecil bunyi jam mekanikal boleh mengalih fokusnya kepada perkara yang lain.
Kepentingan Rawatan dan Sokongan
Melalui rawatan dan pengurusan yang sesuai, kanak-kanak yang mempunyai senstiviti deria boleh belajar untuk menerima rangsangan yang mengganggu mereka sebelum ini. Walau bagaimanapun, faktor yang utama dalam kemajuan mereka adalah sokongan dan pemahaman ibubapa. ibubapa memainkan peranan yang penting dalam membantu anak-anak mereka untuk mengembangkan kemahiran kawalan kendiri dan pengurusan kelakuan mereka. Dengan itu, kepekaan deria sering dikaitkan dengan tahap tekanan dan daya perhatian. Ia bukanlah luar biasa untuk kanak-kanak yang sebelum ini menunjukkan kemajuan untuk kembali semula kepada kelakuan dahulu – mungkin juga kenaikan – terhadap cabaran deria mereka ketika menghadapi perubahan besar, seperti memindah ke sekolah baharu atau mulanya tahun persekolahan baharu. Dengan tahap sensitiviti dan tekanan yang meningkat, kanak-kanak istimewa mungkin akan menghadapi kesusahan untuk mengekalkan keadaan optimal (pemerangsangan), menjadikannya sukar untuk mereka menggunakan strategi daya tindak yang telah dipelajari.

Sebab-sebab Kelakuan Remaja Istimewa
Fasa keremajaan adalah fasa yang mempunyai perubahan ketara, dengan penambahan keperluan (demands) dari sekolah, keluarga, dan masyarakat, peningkatan dalam kepekaan deria dijangka. Kerana deria remaja istimewa amat terkesan dari persekitarannya, kelakuan mereka sering dikawal oleh keperluan deria. Mereka mengelak dari rangsangan yang keterlaluan dan mencari rangsangan yang melegakan sistem saraf yang terlalu terangsang. Kadangkala, tingkah laku mereka mungkin dianggap sebagai tidak rasional. Seperti Jason, contohnya. Tekanannya terhadap bunyi yang bising mengakibatkannya bertengkar dengan Mary pada pagi itu. Walau bagaimanapun, Mary, seorang ibu yang menyokong dan memahami keadaan anaknya, tidak menganggap Jason sebagai seorang anak yang kurang ajar. Mary memahami bahawa tingkah laku Jason berakar daripada cabarannya untuk mengurus isyarat-isyarat derianya mengikut persekitarannya. Mary masih ingat akan anaknya Jason yang pada satu ketika dahulu, seorang kanak-kanak yang baik – Jason akan sentiasa menunggu Mary untuk pulang ke rumah untuk makan malam bersama, dan akan menolong Mary mengangkat barang-barang dapur yang berat selepas membeli-belah di pasaraya. Daripada menghukum Jason kerana pemberontakannya, Mary menerima Jason seadanya, dan memahami tekanan dan kesusahan deria yang dihadapi anak kesayangannya itu.
Cabaran Tersirat Yang Dihadapi Oleh Remaja Istimewa
Memandangkan daya perhatian dan tingkah laku remaja istimewa amat dipengaruhi oleh persekitaran, mereka mungkin akan menghadapi kesusahan untuk mengekalkan kawalan kendiri. Walaupun mereka individu yang bijak dan cemerlang, mereka harus berusaha lebih untuk “melawan” rangsangan yang keterlaluan di sekitar mereka. Cabaran ini boleh membuat mereka merasa penat dan serabut. Akibatnya, ia tidak luar biasa untuk mengesan perasaan kurang pencapaian dan ketidakteraturan dikalangan remaja istimewa. Ramai orang gagal menyedari cabaran harian yang dihadapi golongan ini. Bunyi-bunyi yang diabaikan oleh orang lain – seperti dengungan penyaman udara – boleh mengganggu individu yang sensitif terhadap bunyi (kepekaan deria pendengaran). Kerana kelakuan mereka akan dianggap sebagai tidak normal, remaja-remaja istimewa sering disalah sangka sebagai budak manja atau kekurangan disiplin.
Peranan Ibu Bapa Dalam Menyokong Remaja-Remaja Istimewa
Ibubapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyokong anak-anak mereka dan membantu masyarakat luar untuk memahami keperluan unik remaja-remaja istimewa ini. Sokongan Mary terhadap Jason, contohnya, mempertahankan keyakinan diri dan menggalakkan Jason untuk menghadapi cabaran hidup dengan cara pemikiran positif. Mendapatkan intervensi awal adalah langkah yang amat penting. Selain mendapatkan rawatan, ibu bapa juga boleh mempelajari lebih lanjut tentang faktor-faktor cabaran yang dihadapi oleh anak mereka, yang boleh membantu untuk menerima anak mereka seadanya daripada memaksa mereka untuk berkelakuan seperti kanak-kanak lain. Dengan pemahaman ini, ibu bapa boleh mencari cara yang positif dan praktikal untuk membantu pengurusan kepekaan deria anak mereka. Walaupun masalah-masalah ini tidak akan hilang sepenuhnya, mempunyai sokongan yang elok boleh memberi perubahan besar kepada kehidupan harian mereka.

Membantu Remaja-Remaja Istimewa Berkembang Maju
Walaupun intervensi awal merupakan langkah yang penting, remaja istimewa masih memerlukan sokongan yang berterusan ketika mengendali cabaran tambahan dalam fasa keremajaan. Program yang ditumpu terhadap kawalan kendiri dan pengurusan emosi adalah bantuan yang amat digalakkan, di samping sokongan ibu bapa yang kekal penting pada tahap ini. Buku seperti How to Talk So Teens Will listen and Listen So Teens Will Talk oleh Adele Faber dan Elaine Mazlish merupakan panduan yang bagus untuk memerhati interaksi di antara ibubapa dan anak remaja mereka.
Pada waktu makan tengahari, Mary menerima satu mesej dari Jason:
“Ibu, tunggu Jason balik dulu sebelum ibu ke pasaraya. Jason pergi dengan ibu. Barang-barang dapur nanti berat.”
Sifat bertimbangrasa Jason menyejukkan hati Mary.
Walaupun dia menghadapi pelbagai cabaran dan berkelakuan kasar kebelakangan ini, Jason kekal sebagai seorang remaja yang baik hati. Di dalam hatinya, Jason amat mengambil berat tentang orang lain, namun, masalah kepekaannya kadangkala membayangi sifat kemesraan dan keprihatinan yang membentuk keperibadiannya yang sebenar.
Biodata Pengarang
Jeanette Suen merupakan seorang ahli terapi carakerja yang telah bersara, selepas 40 tahun berpengalaman bekerja bersama kanak-kanak di Hong Kong, Singapura dan Kanada. Selain kepakaran beliau di dalam gangguan perkembangan pediatrik dan perkembangan saraf, Jeanette merupakan pengasas Hand in Hand OTC di Singapura. Jeanette juga berdedikasi terhadap latihan, pementoran ahli terapi muda, dan pengendalian bengkel terapi carakerja pediatrik dan perkembangan sensorimotor.