Perbezaan bertutur:
Corak pertuturan dalam autisme

Pengenalan

Apabila kanak-kanak kecil neurotypical belajar bercakap, mereka bermula dengan meniru bunyi dan secara beransur-ansur mula menggunakan perkataan untuk menyatakan keperluan dan ide mereka. Menjelang usia tiga tahun, sebahagian besar kanak-kanak membina keupayaan suara dan intonasi mereka sendiri dan pada usia empat atau lima tahun, mereka boleh berbual dengan petah dan menggunakan bahasa yang biasa digunapakai dalam suasana sosial.

Sebaliknya, kanak-kanak autisme mungkin mengikuti laluan perkembangan pertuturan yang berbeza. Sebahagian daripada mereka mungkin mengembangkan kemahiran bahasa dengan lebih berhati-hati, bergelut dengan meniru bunyi, atau mengalami kesukaran membentuk frasa yang bermakna. Mereka juga mungkin memaparkan corak pertuturan yang unik, seperti mengulang perkataan atau frasa (ekolalia) menggunakan nada rata atau berdendang. Adalah sangat mencabar untuk mereka berkomunikasi dalam suasana sosial, maka lebih sukar untuk mereka terlibat dalam perbualan biasa.

Corak pertuturan yang unik ini, seperti nada rata atau robotik dan ekolalia, sering disalahertikan oleh orang lain sebagai kekasaran atau tidak berminat. Selain itu, apabila kanak-kanak autisme tidak menjawab nama mereka apabila dipanggil atau disapa, apabila bercakap dengannya, atau mereka mungkin disalahanggap sebagai mengalami masalah pendengaran.

Artikel ini meneroka corak pertuturan atipikal ini, mendalami sebab pertuturan berlaku dan cara peningkatan kesedaran yang boleh membantu mewujudkan persekitaran yang menyokong kanak-kanak autisme untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan.

Corak pertuturan atypical yang lazim

Ekolalia

Ekolalia – apakah itu? Ekolalia berlaku apabila kanak-kanak mengulangi perkataan atau frasa yang mereka dengar, seperti bergema. Ini adalah corak pertuturan lazim dalam kanak-kanak autisme.

Mengapa ekolalia berlaku?
Ekolalia pada kanak-kanak autisme mungkin berlaku atas pelbagai sebab, walaupun kami belum memahami sebab sepenuhnya. Suatu daripada sebabnya mungkin kerana mereka mengalami kesukaran untuk mencipta perkataan mereka sendiri atau mungkin tidak memahami sepenuhnya apa yang dikatakan kepada mereka. Ekolalia boleh menjadi cara mereka memproses bahasa dan pencubaan berkomunikasi, walaupun dianggap aneh. Walau bagaimanapun, pencubaan berkomunikasi akan mencabar kerana kanak-kanak mungkin mengulangi perkataan tanpa mengetahui cara bertindak balas dengan sewajarnya.

Contoh

  • Jika seseorang bertanya, “Adakah anda mahu minum?” kanak-kanak autisme mungkin mengulangi, “Adakah anda mahu minum?” daripada berkata “Ya, saya mahu.”
  • Seorang kanak-kanak autisme mungkin mengulangi baris yang mereka petik daripada rancangan TV, seperti “Ada susu?” apabila mereka benar-benar ingin meminta minuman.
  • Kanak-kanak juga mungkin mengulangi baris yang dipetik daripada program TV atau filem, walaupun frasa tersebut tidak sesuai dalam perbualan. Ini adalah kerana lazimnya mereka belajar daripada meniru dan tidak pasti apa lagi yang perlu dikatakan. Ini dikenali sebagai ‘scripting’.
Prosodi

Prosodi
Apakah itu? Prosodi merujuk kepada irama, nada dan kenyaringan dalam ucapan kita yang menambah makna di luar perkataan itu sendiri. Prosodi membantu kita mengenali emosi, penekanan kepada perkataan tertentu, dan digunapakai untuk menyampaikan sindiran atau jenaka. Kaedah ini juga membantu menyampaikan perbezaan antara pernyataan, arahan dan soalan berdasarkan tahap meninggikan dan merendahkan tona pertuturan.

Mengapa ekolalia berlaku?
Kanak-kanak autisme sering merasa sukar untuk memahami dan menggunakan prosodi kerana kaedah ini bergantung pada isyarat sosial halus yang biasanya dipelajari melalui pemerhatian. Memandangkan mereka cenderung untuk mentafsir bahasa secara harfiah, memahami nuansa nada dan irama boleh menyukarkan. Akibatnya, ramai individu autisme mungkin mempunyai suara “rata” atau “robotik”, yang mungkin disalahtafsirkan sebagai kekurangan minat, kurang cerdik, tiada sifat jenaka atau kurang emosi.

Contoh

  • Berkata “betul ke?” dalam nada tinggi boleh menyatakan rasa terkejut, manakala nada yang lebih rendah mungkin menyampaikan rasa tidak percaya.
  • Jika kanak-kanak mendengar “Saya sayang awak!” dituturkan dalam nada bergurau, mereka mungkin tidak menyedari bahawa kita berseloroh.
  • Seorang kanak-kanak yang bercakap dengan nada yang sama dan membosankan mungkin berkata, “Saya teruja untuk menyambut hari lahir saya”, tetapi nada rata yang mereka gunakan boleh menyebabkan orang lain tersalahanggap mereka tidak berminat atau acuh tak acuh.
  • Begitu juga, jika mereka membalas dengan “terima kasih” dengan nada suara yang membosankan selepas menerima hadiah, orang lain mungkin menyalahtafsirkan reaksi mereka sebagai tidak bersyukur, walaupun kanak-kanak itu benar-benar menghargai.
Pertuturan Idiosinkratik

Pertuturan Idiosinkratik Apakah itu?
Pertuturan idiosinkratik merujuk kepada apabila kanak-kanak menggunakan perkataan atau frasa biasa dengan cara yang luar biasa atau unik, selalunya berdasarkan pengalaman peribadi mereka. Pertuturan jenis ini mungkin hanya masuk akal kepada kanak-kanak berkenaan atau orang yang rapat dengan mereka.

Sebagai contoh, kanak-kanak autisme mungkin menyebut “Auntie Mary” apabila mereka benar-benar bermaksud mereka mahu pergi ke taman kerana Auntie Mary sentiasa membawa mereka ke sana. Tidak seperti pertuturan pragmatik, yang mengikut peraturan sosial konvensional, pertuturan idiosinkratik bergantung pada pengalaman pergaulan peribadi dan bukan makna yang biasa digunakan, menjadikannya lebih sukar bagi orang lain untuk memahami niat kanak-kanak berkenaan.

Mengapa ekolalia berlaku?
Pertuturan idiosinkratik berlaku kerana kanak-kanak autisme mungkin mempunyai cara yang berbeza untuk menghubungkan perkataan dengan maknanya. Minda mereka mungkin menyusun maklumat secara unik, menyebabkan mereka menggunakan perkataan berdasarkan pengalaman pergaulan peribadi dan bukannya makna yang biasa digunapakai. Kaedah ini mencerminkan cara tersendiri mereka memahami dan berinteraksi dengan dunia di sekeliling mereka.

Contoh

  • “Keretapi” untuk “Kereta”: Seorang kanak-kanak autisme mungkin menggelar semua kenderaan “keretapi” kerana mereka terpesona dengan kereta api. Ini boleh menyebabkan kekeliruan apabila mereka benar-benar bercakap tentang kereta.
  • “Biskut” untuk “Nak makan”: Seorang kanak-kanak mungkin menyebut “biskut” apabila mereka lapar, walaupun mereka tidak mahukan biskut secara khusus. Ini menyukarkan orang lain untuk mengetahui apa yang sebenarnya kanak-kanak itu mahukan.
Kesukaran dengan bahasa pragmatik

Apakah itu?
Kelewatan pertuturan pragmatik merujuk kepada kesukaran menggunakan bahasa secara berkesan dalam situasi sosial. Ini termasuk cabaran mengetahui cara memulakan perbualan, kekal pada topik yang sedang dibincangkan atau melaraskan pertuturan berdasarkan pada dengan siapa mereka berbincang atau situasi semasa yang mereka hadapi.

Tidak seperti pertuturan idiosinkratik, yang melibatkan penggunaan perkataan dengan cara yang unik berdasarkan pengalaman pergaulan peribadi, kelewatan pertuturan pragmatik adalah mengenai kesukaran yang lebih meluas dalam mengurus komunikasi sosial.

Mengapa ini berlaku?
Kelewatan pertuturan pragmatik berlaku kerana kanak-kanak autisme mungkin bergelut dengan memahami keadaan semasa dan penggunaan isyarat sosial, seperti air muka, nada suara dan peraturan perbualan. Cabaran ini menyukarkan mereka untuk berkomunikasi dengan cara yang sesuai dengan sifat unsur sosial.

Contoh

  • Kesukaran menunggu giliran: Kanak-kanak autisme mungkin tidak menyedari bila giliran mereka untuk bercakap dalam perbualan, atau mereka mungkin mengganggu orang lain, menyebabkan aliran perbualan menjadi terputus-putus.
  • Pemahaman yang biasa digunapakai: Mereka mungkin mengambil segala-galanya secara literal dan tidak memahami jenaka, sindiran atau simpulan bahasa, yang boleh menyebabkan kekeliruan dalam perbualan. Kanak-kanak autisme juga mungkin tidak memahami bahasa basahan atau “kidspeak” rakan sebaya mereka.
  • Banyak bercakap tentang topik kegemarannya: Kanak-kanak mungkin banyak bercakap tentang topik kegemarannya, walaupun orang lain tidak berminat atau perbualan tidak sesuai. Mereka juga mungkin mengarahkan perbualan ke arah subjek pilihan mereka (“Siapa puteri Disney kegemaran anda? Saya adalah Belle. Belle berani, dan dia…”) yang boleh mengecewakan orang lain jika mereka terlepas isyarat untuk menukar topik.
Kekusutan

Kekusutan Apakah itu? Kekusutan adalah gangguan pertuturan di mana kanak-kanak bercakap dengan sangat cepat atau dengan cara yang tidak teratur, menjadikannya sukar untuk memahami apa yang mereka katakan. Perkataan mungkin bercampur aduk, atau bunyi dan suku kata tertentu mungkin ditinggalkan.

Kekusutan boleh menjadikan komunikasi mencabar kerana sukar bagi orang lain untuk mengikuti apa yang dikatakan oleh kanak-kanak itu. Pertuturan itu mungkin kelihatan tergesa-gesa, tidak jelas, atau mengelirukan, yang membawa kepada salah faham.

Mengapa ini berlaku?
Kekusutan berlaku kerana fikiran kanak-kanak itu muncul dalam minda lebih laju sebelum dapat diatur dan diungkapkan dengan jelas. Keadaan ini kebiasaan pada kanak-kanak autisme, yang mungkin bergelut mengatur pemikiran dan corak pertuturan mereka seperti cara biasa.

Contoh

  • Seorang kanak-kanak mungkin berkata, “sayanakmakansekarang,” dan bukannya dengan jelas berkata, “Saya mahu makan sekarang.”
  • Contoh lain apabila kanak-kanak bergegas melalui ayat seperti, “Nakpergikedaimainansekarang,” dan bukannya “Saya akan pergi ke kedai mainan. Adakah anda mahu datang?”

Kesan kepada Kehidupan Harian dan Pembelajaran

Corak pertuturan atipikal boleh menjadikan kehidupan seharian dan pembelajaran lebih sukar untuk kanak-kanak autisme, terutamanya dalam bilik darjah. Masalah pertuturan ini mungkin menyukarkan mereka untuk menyertai aktiviti, berbincang dengan guru atau berhubung dengan rakan sekelas. Ini sering membawa kepada salah faham dan rasa tersisih.

Dari segi sosial, berkawan dan menyertai aktiviti berkumpulan boleh menyebabkan perasaan tak keruan. Ini boleh menyebabkan kekecewaan dan kesunyian. Dari masa ke masa, semua ini boleh menjejaskan harga diri kanak-kanak berkenaan. Mereka mungkin berasa segan, malu atau takut kerana perjuangan berkomunikasi yang sedang dialami.

Keengganan ini boleh menyebabkan mereka mengelak daripada bertutur sama sekali, yang mungkin mengasingkan mereka daripada rakan sebaya mereka. Mereka mungkin mula percaya bahawa mereka akan sentiasa bergelut dengan pertuturan atau pekerjaan tertentu yang diidamkan tidak dapat dicapai. Ini akan memburukkan lagi keadaan dan meningkatkan lagi kekhuatiran mereka tentang berkomunikasi.

Mendidik orang lain bagi memahami corak pertuturan ini adalah penting untuk mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan bersefahaman. Apabila rakan sekelas mengetahui bahawa tingkah laku tertentu, seperti mengulang frasa, adalah sebahagian daripada cara kanak-kanak autisme berkomunikasi, mereka lebih cenderung untuk menyokong dan menerima cara pertuturan tersebut. Kesedaran ini membantu membina hubungan yang lebih harmonis dan menjadikan kanak-kanak autisme berasa lebih difahami dan berserta.

Menangani Corak Pertuturan Atipikal

Menyokong kanak-kanak autisme membangunkan kemahiran komunikasi yang berkesan memerlukan pendekatan yang melibatkan sifat bertimbang rasa dan sabar. Terapi pertuturan memainkan peranan penting dalam proses ini dengan membantu kanak-kanak melahirkan perasaan diri mereka dengan cara yang dirasakan semula jadi buat mereka. Bagi sebahagian besar kanak-kanak, ini mungkin bermakna berlatih unsur pertuturan seperti nada suara dan perbualan berulang-alik. Bagi yang lain, ini mungkin melibatkan penggunaan kaedah komunikasi alternatif, seperti gerak isyarat atau alat bantuan yang berdasarkan penglihatan.

Latihan kemahiran sosial juga amat berharga, tetapi penting untuk menyesuaikannya dengan keperluan dan sifat unsur budaya setiap kanak-kanak. Walaupun program kemahiran sosial sering mengajar tingkah laku seperti mengekalkan hubungan pandangan atau menggunakan jabat tangan, norma ini mungkin tidak selesa atau sesuai untuk kanak-kanak autisme. Ahli terapi harus menumpukan pada membantu kanak-kanak mengemudi interaksi sosial dengan cara yang dirasakan sesuai untuk mereka, dan bukannya mengenakan peraturan tegar yang mungkin menyebabkan ketidakselesaan atau kekeliruan.

Akhirnya, matlamat terapi bukanlah untuk ‘merapikan’ kanak-kanak berkenaan tetapi untuk memperkasakan mereka agar berupaya berkomunikasi dengan lebih berkesan dengan cara yang meningkatkan keyakinan mereka. Diwaktu yang sama, terapi membantu mereka meningkatkan kemahiran berhubung dengan orang lain dengan lebih baik.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang peranan terapis pertuturan dan sokongan yang mengesahkan kepelbagaian saraf, anda boleh meneroka Peranan Jurupulih Pertuturan-Bahasa dalam Autisme dan Cara memilih terapis Pertuturan-Bahasa (SLT). Selain itu, lihat AAC: Meningkatkan Komunikasi untuk Kanak-kanak Autisme untuk mendapatkan cerapan tentang Komunikasi Penambahan dan Gantian (AAC).

Kesimpulan

Menyokong kanak-kanak autisme berkomunikasi bermakna perlu bersabar, menggunakan bahasa yang jelas dan sentiasa meraikan kemajuan mereka. Kemahiran berkomunikasi melangkaui cara pertuturan. Maka adalah penting untuk menggalakkan mereka melahirkan perasaan diri mereka dengan cara yang dirasakan semula jadi, sama ada melalui perkataan, gerak isyarat atau perbuatan yang oleh dilihat.

Bekerjasama dengan guru, ahli terapi dan keluarga membantu kanak-kanak ini mengembangkan kemahiran komunikasi yang mereka perlukan untuk berkembang maju. Dengan mewujudkan persekitaran yang menyokong, kami boleh membantu setiap kanak-kanak autisme mencari suara mereka dengan cara tersendiri.

Terus berhubung!