AAC: Meningkatkan Komunikasi bagi Kanak-kanak Autisme
Sebahagian besar daripada ibubapa inginkan anak mereka fasih bertutur, tetapi tidak semua kanak-kanak autisme berjaya bertutur dengan lancar.
Kira-kira 25-30% kanak-kanak yang didiagnosa dengan autisme tidak fasih bertutur atau mempunyai kebolehan bertutur yang terhad (non-verbal or minimally verbal NVMV), bermaksud mereka gagal menggunakan lebih daripada 20 perkataan untuk berkomunikasi. Kanak-kanak seperti ini memerlukan kaedah alternatif untuk berkomunikasi dengan berkesan. Kaedah ini dikenali sebagai Komunikasi Penambahan dan Gantian (Augmentative and Alternative Communication AAC).
AAC mempunyai dua tujuan utama:
-
Komunikasi Gantian: Digunakan apabila pertuturan tidak ada atau tidak berfungsi.
-
Komunikasi Penambahan: Melengkapi pertuturan dengan penggunaan pelbagai kaedah tambahan.
Terdapat pelbagai kaedah AAC yang dipraktikkan secara meluas, daripada isyarat yang ringkas, alat visual, dan penulisan, kepada teknologi tinggi seperti aplikasi komunikasi mudah-alih dan peranti penjana pertuturan.
Walaupun komunikasi lisan diberi kepentingan sebagai matlamat utama, tidak terdapat bukti bahawa pendekatan ini berkesan untuk kanak-kanak autisme yang tidak berkeupayaan bertutur atau mempunyai pertuturan yang terhad. Sebagai contoh, sebuah pusat intervensi awal di Australia mendapati bahawa tidak terdapat perubahan kebolehan bertutur di kalangan lebih daripada 50% kanak-kanak autisme walaupun selepas menerima terapi selama 15-25 jam seminggu untuk 14 bulan. Oleh yang demikian, AAC sering dianggap sebagai langkah terakhir, selepas bertahun-tahun mencuba intervensi lain yang tidak beroleh kejayaan.
Bagaimana Pula Dengan Kanak-kanak Autisme yang Boleh Bertutur?
Autisme adalah tahap kebolehan seseorang menjalankan aktiviti harian yang pelbagai. Individu autisme yang berkebolehan bertutur mungkin perlu berkomunikasi menggunakan pelbagai kaedah. Mereka mungkin bertutur dengan cara:
-
Kebolehan bertutur yang tidak konsisten
-
Pertuturan yang bercanggah dengan maksud sebenar
-
Maksud pertuturan yang tidak lengkap untuk menyampaikan tujuan mereka
Selain daripada hanya memberi tumpuan kepada kebolehan untuk bertutur, kita perlu membantu kanak-kanak berkomunikasi dengan secepat mungkin . Kaedah AAC memudahkan kanak-kanak berkomunikasi secara menyeluruh, bukan untuk bertutur sahaja.
Apakah proses komunikasi lisan?
“‘Apabila saya berbicara saya bukan hanya berbicara dengan mulut. Saya perlu memikirkan perkataan yang sesuai untuk digunakan dan yang saya fahami sebelum bertutur. Seterusnya saya perlu pastikan bahawa saya boleh menyebut perkataan tersebut agar semua orang faham maksud saya. Kemudian, saya perlu menyesuaikan intonasi, kelantangan dan nada supaya tidak terlalu kuat atau terlalu perlahan.”
Jordyn Zimmerman
Jordyn Zimmerman Membentangkan di Mesyuarat BOE April
Temui Jordyn Zimmerman, seorang aktivis autisme yang ketidakupayaan bertutur dan mula menggunakan iPad untuk berkomunikasi pada usia 19 tahun. Dalam video ini, dia memperjuangkan hak pelajar untuk menggunakan AAC sebagai kaedah pendidikan inklusif. Dia membentangkan ucapannya kepada lembaga pendidikan dengan menggunakan kaedah AAC.
Manfaat Pendekatan Multimodal
Kaedah komunikasi perlu disesuaikan dengan kebolehan dan keperluan kanak-kanak. Contohnya, bantuan visual membantu kanak-kanak autisme memahami dan menjelaskan tujuan mereka dengan lebih baik. Pendekatan ini memberi manfaat kepada semua kanak-kanak autisme, sama ada mereka berkeupayaan bertutur ataupun tidak. Mereka harus disokong untuk berkomunikasi dengan baik sama ada melalui pertuturan, gambar, menaip, menulis, atau kaedah lain.
Hak untuk Berkomunikasi
“‘Saya boleh bercakap. Bahkan saya boleh berbual dengan anda, tetapi saya mendapati bertutur sangat sukar terutama apabila saya marah atau terlampau terganggu.”
Jordyn Zimmerman
Keutamaan perlu diberi kepada komunikasi, bukan pertuturan lisan sahaja. Individu autisme perlu menggunapakai kaedah komunikasi yang berkesan. Ini bermakna:
-
Mereka boleh menyatakan dengan jelas tujuan mereka.
-
Komunikasi mereka tidak terhad kepada permintaan yang ringkas.
-
Mereka boleh memilih untuk menggunakan ayat yang betul daripada segi tatabahasa.
-
Komunikasi mereka mudah difahami oleh orang lain.
Jika seseorang autisme mengalami kesukaran bertutur untuk berkomunikasi dengan berkesan, mereka harus dibekalkan dengan kaedah AAC. Mereka harus diberi sokongan untuk belajar, menggunakan, dan menyelenggarakan peranti komunikasi mereka selama yang diperlukan. Untuk sebahagian orang autisme, proses ini merupakan pembelajaran sepanjang hayat. Tambahan pula, komunikasi yang berkesan bermaksud menggunakan bahasa yang selesa, walaupun bukan bahasa utama yang digunakan di kawasan tersebut.
Kesimpulan:
Kaedah komunikasi yang berkesan bergantung kepada penggunanya. Menafikan pilihan seorang autisme untuk menggunakan kaedah AAC adalah seperti menghalang seorang kurang upaya pendengaran daripada menggunakan bahasa isyarat atau peranti pendengaran. Menerima orang autisme termasuk menerima cara mereka memilih untuk berkomunikasi.
Kita perlu memastikan bahawa semua individu autisme merasakan diri mereka tergolong dan disokong melalui pilihan kaedah komunikasi mereka.
“Kita perlu memastikan bahawa semua individu autisme merasakan diri mereka tergolong dan disokong melalui pilihan kaedah komunikasi mereka.”
Jordyn Zimmerman
Artikel ini diadaptasi daripada artikel oleh Yong Ennie, ahli terapi pertuturan, Pusat PERMATA Kurnia.