Mengatasi Kehilangan

Mempersiapkan Individu Autisme untuk Menghadapi Kehilangan

Adalah penting bagi rangkaian sokongan individu autisme, terutamanya bagi mereka yang sangat bergantung kepada ibu bapa atau penjaga, untuk menyediakan suatu pelan/rancangan dalam membantu mereka bersiap sedia dan mengatasi kematian.

Berikut adalah beberapa tip untuk mempersiapkan individu autisme menghadapi penyakit serius atau kematian, cara menyampaikan berita kehilangan, dan cara mengenang serta memperingati arwah:

Untuk Anak Autisme dan Remaja

Untuk Orang Dewasa Autisme

Proses ini adalah mencabar, tetapi anda tidak perlu menghadapinya bersendirian. Kami juga mengesyorkan anda supaya mendapatkan sokongan dari individu atau kumpulan yang boleh membantu anda melalui masa yang penuh emosi ini.

Menyokong Kanak-Kanak dan Remaja Autisme

Mempersediakan anak anda menghadapi kehilangan seseorang

Sebelum kehilangan melanda

Kepulangan ke Rahmatullah atau meninggal dunianya seseorang adalah konsep yang abstrak. Penerangan kepada anak-anak perlu menggunakan bahasa yang mudah, contohnya “orang yang telah meninggal dunia tidak lagi boleh bernafas, makan atau bergerak”. Pemergian ini juga boleh diterangkan dengan contoh kitaran kehidupan yang boleh dilihat oleh mereka; seperti menerangkan keadaan di mana pokok-pokok yang tumbuh segar boleh bertukar menjadi kering dan longlai diakhirnya.

Anda juga boleh memperkenalkan konsep kematian dengan menggunakan situasi harian, seperti pemergian rakan sekerja atau pemergian seseorang yang terkenal. Berikan peluang kepada anak anda melihat bagaimana anda bertindak balas terhadap kehilangan untuk membantu mereka belajar mengawal emosi. Jika keadaan mengizinkan, anda juga boleh membawa anak anda menghadiri upacara pengebumian atau peringatan.

Bagi membantu mempersediakan anak anda untuk pemergian anda sendiri pada masa akan datang, anda perlu berterus-terang mengenai masa hadapan di mana anda tiada lagi bersama mereka. Berita terkini, buku cerita, filem serta berita tentang orang yang mereka kenal boleh digunakan untuk memulakan perbualan mengenai perkara tersebut.

Perlu diingatkan bahawa perasaan sedih akan timbul bukan hanya untuk kehilangan orang tersayang. Kematian atau kehilangan haiwan kesayangan juga boleh menimbulkan kesedihan yang sama mendalam seperti kehilangan rakan atau ahli keluarga.

Mulakan dengan memperkenalkan keadaan pesakit

Jika kematian seseorang yang rapat sudah dijangka, anda perlu mempersediakan anak anda dari awal. Terangkan apa yang akan berlaku di hospital, semasa pengebumian dan upacara peringatan. Jika keadaan mengizinkan, lawati tempat-tempat ini terlebih dahulu atau tetapi gambar tempat-tempat ini bersama untuk membiasakan anak tersebut tentang keadaan di sana.

Anak anda perlu diberitahu mengenai sebarang perubahan yang mungkin akan dilihat pada pesakit, seperti perubahan pada rupa, pertuturan atau suara. Terangkan mengenai peralatan perubatan seperti saluran intravena atau peralatan bantuan pernafasan (ventilator) yang mungkin berada pada pesakit, pastikan penerangan juga melibatkan kebarangkalian adanya bunyi bising daripada peralatan perubatan tersebut.

Kekalkan Rutin Harian

Cuba kekalkan rutin harian selari dengan rutin biasa anak. Jika akan ada perubahan, jelaskan terlebih dahulu. Beritahu anak siapa yang akan membawa mereka ke sekolah atau aktiviti mereka, menggunakan bahasa yang mudah dan jelas. Gunakan gambar untuk membantu anda menerangkan orang-orang baharu seperti pengasuh atau doktor yang mereka bakal berinteraksi atau tempat baharu atau hospital yang bakal mereka lawati.

Gunakan Cerita Sosial

Mempersediakan anak anda tentang pemergian anda sendiri atau seseorang yang terdekat sungguh mencabar. Cerita Sosial boleh digunakan untuk membantu orang autisme memahami keadaan yang bakal berlaku.

Mencipta Cerita Sosial?

Cerita Sosial boleh membantu mempersediakan anak untuk lawatan ke hospital/hospis, pengebumian dan upacara peringatan. Cerita tersebut perlu mengandungi butiran penting (contohnya, bentuk keranda, keadaan jenazah, kemungkinan ramai orang menangis dan lain-lain). Di mana sesuai, gambar generik harus digantikan dengan foto keadaan sebenar (contohnya, foto hospital, gereja, kuil, masjid, dan lain-lain).

Anda disarankan melantik orang tertentu bagi mengambil gambar dan video semasa upacara pengebumian. Ini boleh mengingatkan anak anda tentang apa yang telah berlaku dan boleh digunakan dalam Cerita Sosial yang anda sediakan.

"Menghadapi Subjek Kematian Secara Langsung"

Lihat cerita Jacquelyn Ang yang mengharukan tentang ‘Menghadapi keadaan peninggalan dunia secara langsung’ dengan seorang anak autisme yang memerlukan sokongan padu.

Pendekatan ini boleh membantu anak anda memahami dan mengingati peristiwa-peristiwa berkaitan kehilangan dan menjadikan proses ini lebih mudah dihadapi.

Contoh Cerita Sosial tentang kematian dan perkabungan boleh didapati sini, sini dan sini.

Menyampaikan berita tentang kehilangan seseorang

Perlu berterus-terang tentang kematian

Apabila berbual dengan anak anda tentang kematian, gunakan bahasa yang jelas dan mudah difahami. Jangan gunakan ayat yang abstrak seperti “pergi ke tempat yang lebih baik” atau “pergi tidur,” tetapi beritahu dengan jelas bahawa arwah telah meninggal dunia.

Memberi penjelasan tentang kematian adalah penting kerana pemberitahuan yang samar boleh menyebabkan anak anda salah faham mengapa orang tersebut tidak lagi hadir dalam hidupnya. Contohnya, anak anda mungkin berpendapat bahawa orang yang mereka sayangi telah pergi meninggalkan mereka kerana tidak lagi menyayangi mereka. Tanggapan salah ini perlu diperbetulkan dan diberi penjelasan yang tepat.

Jika kepercayaan agama anda merangkumi konsep anutan seperti syurga, jelaskan bahawa syurga bukanlah tempat yang boleh dikunjungi, seperti sebuah bandar atau pekan. Ini membantu mengelakkan kekeliruan atau kekecewaan pada anak anda. Penerangan yang mudah seperti ini boleh membantu mereka memahami sebab mengapa mereka tidak dapat melihat atau melawat arwah atau sebab mengapa arwah tidak boleh melawat mereka.

Memberi Keselesaan dan Kepastian

Jika seseorang yang dekat dengan anak anda meninggal dunia, anak anda mungkin bimbang akan kehilangan anda juga. Adalah penting untuk meyakinkan mereka bahawa anda masih ada untuk menjaga mereka dan terdapat juga orang lain untuk menyokong atau menyayangi mereka.

Anda perlu pantau tahap kekerapan anak anda mencari kepastian. Lazimnya mereka memerlukan sokongan tambahan bagi menghadapi masa yang mencabar ini. Walau bagaimanapun, jika mereka menunjukkan tingkah laku yang ekstrim atau berlebihan, anda perlu memberi sokongan kepada mereka dan membantu mereka menangani perasaan dan tingkah laku tersebut dengan cara yang sihat.

Cara terbaik untuk mengingati

Apabila seorang kanak-kanak kehilangan orang yang penting seperti ibu-bapa atau penjaga, memperingati orang tersebut dengan penuh hormat, kasih sayang dan takziah adalah penting untuk mengatasi kesedihan. Walaupun arwah tidak lagi hadir secara fizikal, ikatan emosi masih kuat dan perlu dikawal. Mengingati kenangan manis mereka bersama yang tersayang mungkin boleh membantu anak memahami siapa yang ditangisi dan mengapa arwah dirindui.

Galakkan anak untuk bercakap mengenai orang yang telah meninggal dunia. Terangkan bahawa kerinduan mereka kepada arwah adalah ‘norma’ yang boleh difahami dan perkongsian kenangan manis digalakkan, walaupun mereka tidak dapat melihat atau bercakap dengan arwah yang telah pergi. Berikan peluang kepada anak untuk meluahkan perasaan dalam sanubari mereka.

Anda juga boleh membantu mereka dengan berkongsi kenangan mesra dan perasaan anda mengenai arwah yang telah pergi. Tatapi gambar-gambar bersama dan ceritakan kisah lampau mereka. Perlu diingatkan, mungkin mengambil masa untuk anak anda memahami sepenuhnya kehilangan mereka dan kadang-kala, mereka mungkin berhasrat berbual mengenainya walaupun telah sekian lama pemergian arwah.

Untuk menyokong anak anda mengingati arwah yang disayangi, anda boleh mencuba mengambil kira beberapa cadangan berikut yang mungkin boleh menenangkan atau mengembirakan anak anda:

Barang peribadi

Sepotong kain daripada pakaian arwah boleh disimpan dalam kocek atau dijadikan sarung bantal dakapan.

Buat kotak memori

Kotak ini boleh mengandungi bahan-bahan kenangan seperti:

  • Surat dan pesanan untuk anak anda baca, dengar atau tonton selepas pengebumian
  • Rakaman dan video mereka bersantai bersama
  • Pemacu memori dengan video atau muzik yang disukai oleh arwah
  • Foto anak anda dan arwah melakukan aktiviti harian bersama
  • Barang-barang peribadi yang istimewa kepada arwah dan bau-bauan yang mengingatkan kepada arwah seperti minyak wangi

Ingat-ingatan yang merangsang deria berbeza:

Sertakan barang-barang yang anak anda boleh hidu, dengar, lihat dan sentuh apabila merindui orang yang telah meninggal dunia.

Garis Masa Visual

Mengatur gambar untuk mencipta garis masa membantu mencetuskan kenangan peristiwa penting dan membina cerita kehidupan si arwah.

Aktiviti-aktiviti dan barang-barang peninggalan ini boleh memberikan cara bermakna untuk kanak-kanak atau remaja yang sedang berkabung untuk mengingati arwah yang sebelum ini orang yang sangat penting dalam hidupnya.

Bacaan Tambahan

Untuk Orang Dewasa Autisme

Menyokong Orang Dewasa Autisme

Persediaan menghadapi kehilangan seseorang

Pendidikan

Sebelum menghadiri upacara pengebumian atau sebarang upacara berkaitan kematian, adalah penting untuk menjelaskan kepada orang autisme tentang apa yang akan berlaku. Orang autisme sering beranggapan semua perkara secara literal, maka penjelasan terus terang penting samada mendiang akan dikebumikan atau dibakar, dan apa yang mungkin mereka lihat, seperti keranda atau kendi untuk menyimpan abu jenazah. Melawat tempat tersebut terlebih dahulu untuk membiasakan mereka dengan persekitaran di situ boleh membantu.

Kepercayaan agama tentang kehidupan selepas mati, seperti malaikat atau syurga, boleh menenangkan sesetengah orang tetapi mengelirukan yang lain kerana sifatnya yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Sesuaikan penjelasan kepada apa yang jelas kelihatan adalah paling membantu bagi orang dengan autisme tersebut.

Komunikasi

Gunakan bahasa yang jelas dan mudah difahami apabila membincangkan apa yang akan berlaku di upacara tersebut. Perlu perincian tentang apa dan siapa yang mungkin mereka dengar, lihat, menghidu dan mengalami. Persediaan untuk mereka berinteraksi contohnya, tindak balas yang sesuai apabila mereka menerima ucapan takziah. Pakaian yang sesuai perlu dipakai pada upacara tersebut serta bincangkan bagaimana mereka boleh mengambil bahagian. Pastikan mereka selesa dengan kemungkinan sentuhan fizikal iaitu norma sosial yang mungkin berlaku.

Latihan

Jika perlu, tunjukkan kepada mereka cara untuk bertindak balas terhadap interaksi biasa yang mereka akan hadapi, seperti orang yang menawarkan ucapan takziah. Mempraktikkan respon ini boleh mengurangkan kebimbangan sosial dan menyediakan mereka untuk jenis komen dan gerak isyarat yang mungkin hadapi pada acara tersebut.

Tawarkan Pilihan

Izinkan orang dengan autisme memilih sejauh mana mereka ingin terlibat dalam upacara tersebut. Jelaskan apa yang akan berlaku, seperti berdoa; berlutut; atau melafazkan ayat-ayat suci. Sentiasa beri mereka pilihan supaya mereka boleh turut serta dengan cara yang selesa buat mereka.

Sokongan

Semasa upacara tersebut, pastikan mereka mempunyai orang yang menyokong di sekeliling mereka, terutamanya jika rangkaian sokongan yang sedia ada sibuk dengan tugasan melaraskan upacara tersebut. Rancang keperluan mereka lebih awal, seperti penjadualan untuk waktu rehat atau mereka dibekalkan dengan barangan yang memberi mereka keselesaan seperti fidget tools.

Pemprosesan Pengalaman

Selepas acara selesai, bersedia untuk membantu mereka memproses pengalaman mereka. Hormati keperluan mereka untuk mengambil masa memproses dan beri mereka kesempatan untuk berkongsi fikiran dan emosi mereka, diwaktu yang sama sentiasa menyediakan persekitaran yang menyokong dan memahami semasa mereka menangani perasaan mereka.

Berita Tentang Kehilangan Seseorang

Menyampaikan Berita

Apabila berkongsi berita kematian dengan orang autisme, gunakan bahasa yang jelas dan jujur untuk memastikan mereka memahami perkara yang telah berlaku. Jangan gunakan istilah yang lebih sopan tetapi boleh mengelirukan mereka seperti “dia telah tinggalkan kita”, gunakan istilah yang jelas seperti “telah mati” untuk lebih difahami. Sesuaikan penjelasan anda dengan tahap pemahaman mereka.

Fahami Reaksi Mereka

Jangan mengharapkan reaksi biasa. Orang autisme mungkin kelihatan tenang pada zahirnya tetapi besar kemungkinan mengalami reaksi dalaman yang ketara.

Mereka mungkin kehilangan keupayaan untuk berkomunikasi, tidak menunjukkan emosi, menyisihkan diri, atau mengabaikan berita. Anda perlu memahami bahawa setiap orang menangani berita buruk dengan cara yang berbeza.

Belajar Daripada Pengalaman

Fikirkan kaedah komunikasi yang pernah terbukti berkesan sebelum ini.

Gunakan pengetahuan dan pengalaman anda untuk memilih cara yang paling sesuai untuk menyampaikan berita, sama ada mengenai penyakit tenat atau kematian.

Berikan Jaminan

Yakinkan mereka bahawa perasaan mereka adalah diambil kira dan difahami serta sokongan berterusan akan diberikan. Jelaskan bahawa hubungan mereka dengan mendiang masih boleh dihormati melalui kenangan, tingkah laku dan tradisi, walaupun mereka beranggapan langkah tersebut tidak logik.

Cari Kaedah Sesuai Untuk Mengingati

Mengingati orang tersayang boleh membawa ketenangan , terutamanya apabila ingatan tersebut mengingatkan kita kepada jalinan kasih yang telah terjalin. Walau bagaimanapun, ingatan ini juga mungkin perit untuk yang ditinggalkan, terutamanya sejurus selepas kematian.

Berikut adalah beberapa cara untuk mengingati seseorang, yang boleh dikongsikan dengan orang autisme yang anda sokong.

Kita perlu peka bahawa apa yang boleh memberi ketenangan kepada seseorang mungkin berbeza dengan orang yang lain dan juga boleh berubah dengan peralihan masa.

Simpan Foto

Menyimpan foto mendiang boleh mengingatkan waktu-waktu gembira bersama, walaupun ia mungkin kenangan yang perit bagi setengah orang.

Pakai Barangan Mereka

Memakai pakaian atau barang kemas mendiang, seperti baju atau cincin kegemaran, boleh membantu mengenangi dan mengingati semula bauan yang digemari atau saat-saat mesra yang dikongsi mereka.

Cipta Penulisan Atau Puisi

Menulis surat, puisi atau lakaran mengenai arwah mungkin membolehkan seseorang meluahkan apa yang terpendam di dalam hati. Kenangan ini boleh dikongsi dengan orang lain atau dirahsiakan sebagai ingatan peribadi.

Kongsi Kenangan

Berbual tentang detik-detik istimewa dan mesra bersama mendiang boleh membantu mengekalkan kenangan indah bersama mereka.

Lawati Tempat Kenangan

Kunjungan ke pusara atau tempat kenangan yang pernah diziarahi bersama boleh mengubat rindu.

Gunakan Cerita Sosial

Ada yang mendapati bahawa Cerita Sosial tentang kesedihan yang dialami turut membantu. Ini boleh membimbing perbualan tentang kehilangan dan kenangan mesra orang tersayang.

Contoh Cerita-cerita Sosial tentang pemergian dan kesedihan boleh didapati di sini, di sini dan di sini.

Semua cadangan yang tertera di sini mungkin tidak sesuai digunapakai serta-merta selepas pemergian yang tersayang tetapi mampu menawarkan ketenangan seiring dengan peredaran masa.

Bacaan Tambahan

Untuk Anak Autisme dan Remaja

Ikuti perkembangan terkini dengan semua perkara hebat yang kami lakukan