Mengajar anak anda tentang pengurusan kewangan

Pengurusan wang dan kelolaan belanjawan yang arif penting untuk kehidupan berdikari yang berjaya. Kegagalan mengurus kewangan tidak tertumpu hanya kepada mereka dengan autisme kerana ini adalah masalah kepada sebahagian besar masyarakat. Memandangkan cabaran sedia ada yang mereka alami, orang autisme bergelut dengan pengendalian kewangan secara bertanggungjawab dan ini akan menjejaskan kualiti hidup serta keupayaan mereka untuk hidup berdikari.

Penyelidikan menunjukkan bahawa golongan muda dengan autisme menganggap pengurusan kewangan sebagai penting untuk mereka berdikari tetapi khuatir tentang kurang pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang ini. Apabila usia mereka meningkat, mereka cemas tentang tanggungjawab orang dewasa seperti membayar bil, penjimatan wang atau memfailkan tuntutan cukai dan menganggap tanggungjawab tersebut sebagai penghalang kepada berdikari (Cheak-Zamora, Teti, Peters, & Maurer-Batjer, 2017).

Sila rujuk: Cheak-Zamora, N. C., Teti, M., Peters, C., & Maurer-Batjer, A. (2017). Financial capabilities among youth with autism spectrum disorder. Journal of Child and Family Studies, 26(5), 1310–1317. https://doi.org/10.1007/s10826-017-0669-9

Bagaimana autisme memberi kesan kepada pengurusan kewangan

Walaupun keadaan berbeza bagi setiap orang, terdapat orang autisme – terutamanya kanak-kanak, sering bergelut dengan fungsi eksekutif. Ini bermakna mereka mungkin tidak berminat untuk mencapai matlamat dan kesediaan untuk tugas harian seperti menguruskan kewangan. Mereka sering mengalami kesukaran mempelajari kemahiran seperti mengatur, merancang serta membuat rumusan tentang sesuatu perkara. Ini disebabkan mereka perlu bimbingan dimana mereka boleh mendapat pengalaman, pengetahuan dan pelajaran. Meskipun menghadapi cabaran ini, orang autisme masih boleh belajar menguruskan kewangan dengan berkesan.

Bagaimana membantu anak anda membina kemahiran pengurusan kewangan

Adalah penting bagi individu autisme untuk belajar lebih awal tentang pengurusan kewangan agar mereka boleh berdikari. Sekolah-sekolah harus menyertakan pengetahuan perancangan kewangan dalam program pendidikan awal mereka. Ibu bapa boleh membantu anak-anak autisme mereka menguruskan wang dengan mengajar mereka pada usia muda tentang pentingnya belanjawan berhemah, perbelanjaan yang berhati-hati dan cara memantau kewangan dengan bijak.

Sila beri perhatian kepada petua-petua berikut:

1. Memecahkan perkara agar senang difahami

Individu autisme yang mempunyai cara pemikiran tersendiri (neurodivergent) mungkin mengalami kesukaran untuk merancang atau menyelesaikan tugas yang memerlukan banyak langkah. Oleh yang demikian, anda disarankan mengatur langkah agar tidak terlalu banyak sekaligus. Fokus pada satu konsep pada suatu masa dan pecahkan tugas yang lebih besar kepada langkah yang lebih kecil dan mudah diurus.

2. Mengawalkan secepat mungkin

Jika anda mula mengajar awal pada usia yang muda, maka kemahiran ini akan tertanam apabila mereka membesar. Libatkan kanak-kanak dalam perbincangan tentang kewangan yang sesuai dengan usia mereka. Bincang dengan jujur tentang harga barang untuk keperluan mereka, usaha bersama untuk mendapat upahan dan pendapatan lebih yang mungkin mereka boleh simpan. Memulakan perbincangan dan pembelajaran ini lebih awal memberi lebih banyak peluang untuk belajar dan mengamalkan kemahiran menguruskan kewangan.

3. Wujudkan rutin

Kesamaan yang menerus dan kelaziman boleh memberikan keselesaan dan membina keyakinan. Lawati bank atau pasar raya yang sama pada waktu yang sama dalam sehari dan gunakan mesin ATM atau barisan pembayaran di bank yang sama. Pilih situasi yang tidak melahirkan ketekanan untuk mengajar kemahiran baharu ini. Lawati bank, kedai atau pasar raya pada waktu yang kurang sibuk, atau berbual dengan orang yang dikenali, seperti makcik di gerai penjaja yang kerap dikunjungi oleh anak anda.

4. Tumpukan kepada daya dan gaya belajar

Beri perhatian kepada daya dan gaya anak anda belajar. Gunakan alat-alat visual seperti aplikasi, carta atau gambar untuk memudahkan proses pembelajaran. Aktiviti praktikal boleh membantu memudahkan pemahaman kepada konsep abstrak dan menghubungkaitkan konsep tersebut dengan kehidupan harian. Tanya anak anda tentang apa yang mereka ingin pelajari dan libatkan mereka terus-menerus dalam proses tersebut. Peranan aktif mereka penting untuk mendalami pengetahuan agar berjaya mencapai celik kewangan.

5. Hormati garis sempadan

Anda perlu peka bahawa meskipun terdapat kanak-kanak autisme yang boleh mengendalikan urusan wang untuk membeli-belah, aspek sosial seperti berinteraksi dengan juruwang atau menjawab soalan boleh menjadi cabaran kepada mereka. Ancaman ini boleh dielakkan dengan memberitahu lebih awal tentang perkara yang akan dihadapi oleh mereka. Galakkan anak anda untuk berinteraksi secara positif tetapi jangan memaksa mereka untuk berkomunikasi dengan juruwang yang mereka tidak kenal.

6. Guna pakai cerita sosial

Cerita-cerita Sosial boleh menjadi kaedah yang berguna untuk membantu anak anda memahami dan melalui pelbagai cabaran sosial dengan memberikan penerangan yang tepat. Penerangan tersebut perlu jelas dan ringkas merangkumi perkara-perkara yang disangka akan berlaku dan cara berkelakuan dalam senario tertentu.

7. Biarlah menyeronokkan

Permainan atas papan seperti Monopoli, permainan Elaun, atau permainan dalam talian seperti PayDay dan ZOGO mengajar kanak-kanak asas pengurusan kewangan. Menggunakan kaedah permainan peranan berpura-pura di bank, kedai runcit atau restoran adalah cara yang menyeronokkan dan praktikal untuk membantu kanak-kanak berjinak dengan pengurusan kewangan dan kemahiran sosial.

Apakah jenis kemahiran pengurusan kewangan yang diperlukan?

Senarai jenis kemahiran yang perlu dipelajari oleh anak anda untuk menjadi lebih berdikari dengan pengurusan kewangan tertera di sini:

  • Belanjawan: Berbelanja dan berjimat mengikut kemampuan mereka, menjejaki dan memantau perbelanjaan.
  • Mengakses perkhidmatan dan kemudahan perbankan dan kewangan: Membuka akaun bank, menggunakan mesin ATM, kemudahan kad debit dan lain-lain sama ada secara berdikari atau dengan bimbingan daripada orang yang dipercayai.
  • Membayar untuk pembelian dan perbelanjaan harian: Menggunakan wang tunai, pembayaran tanpa sentuhan seperti e-dompet dan kad debit serta perbankan dalam talian.
  • Membayar bil dan yuran langganan: Belajar membayar bil-bil utiliti seperti telefon, khidmat Internet, pembayaran sewa/gadai janji tepat pada masanya supaya membina sejarah kredit yang baik dengan pembekal perkhidmatan
  • Simpanan wang: Ketepikan sejumlah wang secara berkala untuk keperluan masa depan dan kecemasan.
  • Mengelakkan hutang: Memahami tentang risiko pinjaman dan kredit, termasuk kepentingan mengekalkan kiraan mata kredit yang baik.
  • Pengetahuan tentang cukai: Memahami cara cukai berfungsi, memfailkan cukai dan menerima faedah cukai.
  • Melindungi wang mereka: Belajar cara melindungi daripada penipuan, ‘scammer’ dan keselamatan perbankan dalam talian.
  • Insurans: Memahami bagaimana pelbagai jenis insurans seperti insurans kereta, hayat dan perubatan adalah penyediaan jaringan keselamatan terhadap kejadian atau malang yang tidak disangka mungkin terjadi.

Langkah praktikal membantu anak anda membina kemahiran pengurusan kewangan

Beberapa perkara mudah yang boleh anda mula lakukan dengan anak anda untuk membina kemahiran pengurusan kewangan seperti berikut:

    • Perkenalkan pelbagai jenis wang: Wang tunai adalah sesuatu yang digunakan untuk membayar pembelian barang keperluan atau barang yang diingini. Walaupun pembayaran tanpa tunai adalah kebiasaan sekarang, masih penting untuk mengajar anak anda cara mengenali dan menggunakan pelbagai jenis wang tunai, contohnya syiling logam dan wang kertas.
  1. Beri elaun dan bantu anak anda menyimpan untuk keperluan khas. Elaun mingguan membantu mereka memperoleh wang kocek mereka sendiri dan memperkenalkan konsep belanjawan dan simpanan. Gunakan sistem pengurusan tunai seperti kaedah menyimpan dalam sampul surat khusus untuk mengajar kemahiran mengendalikan wang. Biarkan anak anda memutuskan apa yang mereka mahu simpan. Ajar mereka membahagikan elaun mereka ke dalam beberapa sampul surat yang dilabel kegunaannya seperti berikut:
  • Penjimatan untuk barangan istimewa
  • Penjimatan untuk masa depan
  • Penjimatan untuk belanja kecil (cth., ais krim, makanan segera)

Sebagai contoh, jika anak anda menyimpan untuk makanan tetapi berbelanja kurang daripada yang dijangkakan, galakkan mereka untuk memindahkan baki wang ke dalam sampul surat lain, seperti simpanan untuk masa depan atau barangan istimewa. Ini akan mendorong mereka apabila mereka melihat jumlah wang mereka yang disimpan berkembang.

  1. Sediakan akaun bank untuk anak anda. Bank-bank lazimnya menawarkan akaun percuma atau khas untuk kanak-kanak. Menyediakan akaun lebih awal membantu mereka mengetahui cara akaun bank berfungsi. Walaupun perbankan kini diusahakan dalam talian, adalah disarankan untuk memperkenalkan anak anda pada usia muda untuk berurusan dengan bank secara peribadi. Ini membantu mereka membiasakan diri dengan lokasi, bangunan bank, proses perbankan dan interaksi dengan juruwang.
  1. Gunakan aplikasi untuk menjejaki perbelanjaan. Transaksi boleh dijejaki dengan mudah menggunakan aplikasi perbankan dan aplikasi e-dompet. Sesetengah ibu bapa mungkin lebih suka memberi elaun dengan menambah jumlah nilai dalam aplikasi e-dompet seperti GrabPay atau Touch ‘n Go, atau dengan memberikan kad debit dengan had perbelanjaan kepada anak mereka. Menyemak transaksi bersama boleh membantu anak anda memahami perbelanjaan mereka dan membina kesedaran tentang berbelanja dengan bijak.
  1. Terangkan konsep kewangan seperti kredit/debit, kadar faedah, insurans dan pelaburan. Pengurusan wang dan memahami konsep kewangan adalah penting untuk gadis atau pria. Dengan mengajar remaja dengan autisme anda cara mengendalikan kewangan dan memahami bagaimana celik kewangan akan memberi kesan terhadap keseluruhan hidup mereka, anda membantu mereka mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi orang dewasa yang berjaya dan berdikari.

Untuk maklumat lanjut tentang topik perbankan tertentu seperti pinjaman dan kredit, membayar dengan wang tunai, perbankan dalam talian dan e-dompet, lawati Menguruskan Wang dengan Autisme

Sumber

Sumber yang dicadangkan untuk petua dan aktiviti yang lebih praktikal bagi membantu anak anda mempelajari kemahiran pengurusan wang.

Terus berhubung!