Penyesuaian di tempat kerja dan
sokongan kendiri untuk dewasa autisme

Pengenalan

Orang dewasa autisme mungkin menghadapi cabaran di tempat kerja seperti kepekaan terhadap input deria, menghadapi masalah dengan interaksi sosial dan memerlukan komunikasi yang jelas. Tetapi mereka juga mempunyai daya yang hebat, seperti sangat terperinci apabila melakukan kerja, beranalisis dan inovatif, yang memainkan peranan untuk meningkatkan kreativiti dan penyelesaian masalah dalam pasukan.

Artikel ini ditulis untuk membantu majikan dan orang dewasa autisme memahami cara menjadikan tempat kerja lebih membantu untuk semua yang terlibat. Kami akan bercakap tentang sebab dan cara berkongsi diagnosa autisme, pelarasan praktikal yang boleh dibuat dan cara untuk orang dewasa autisme bertanya dengan berkesan apa yang mereka perlukan. Dengan melakukan ini, tempat kerja boleh menjadi lebih inklusif dan membolehkan individu autisme berkembang maju dan menyumbang bakat unik mereka dengan berkesan.

Untuk Mendedahkan atau Tidak Mendedahkan di Tempat Kerja

Dalam keadaan dimana ketidakupayaan seseorang itu jelas dilihat, pendedahan berlaku secara semula jadi. Disebaliknya, dalam keadaan seperti autisme, keputusan untuk berterus-terang tentang keadaan sebenar lebih kompleks kerana bimbangkan stigma. Berbincang tentang keputusan ini dengan seseorang yang anda percayai, seperti ahli keluarga, rakan atau ahli terapi boleh mengurangkan tekanan.

Mengapa perlu mendedahkan?

  • Orang ramai boleh memahami dengan lebih baik keadaan autisme anda.
  • Pendedahan akan mengurangkan tekanan yang disebabkan terpaksa menyembunyi atau melindungi ciri autisme, seperti merangsang (stimming).
  • Anda mungkin memerlukan pelarasan khusus di tempat kerja.
  • Orang ramai akan memahami autisme jika mereka diberi pengetahuan yang betul tentangnya.

Mengapa menentang pendedahan?

  • Anda mungkin bimbang tentang orang yang berprasangka buruk terhadap autisme.
  • Jika anda tidak memerlukan sebarang pelarasan khusus di tempat kerja atau mendapatinya tidak berkaitan dengan prestasi atau tingkah laku anda di tempat kerja, anda mungkin memilih untuk tidak mendedahkan.

Memutuskan sama ada untuk mendedahkan keadaan anda di tempat kerja adalah pilihan peribadi dan mungkin tidak penting. Adalah penting untuk berkongsi diagnosa autisme anda dengan majikan atau penyelia agar mereka boleh memenuhi keperluan khusus anda seterusnya mengelakkan salah faham atau perkara yang tidak diingini berlaku. Perlu ditekankan bahawa anda bertanggungjawab mendedahkan keadaan anda untuk menerima perlindungan anti-diskriminasi di tempat kerja, yang memerlukan majikan menangani sebarang gangguan yang berkaitan dengan ketidakupayaan anda.

Memilih masa yang sesuai untuk didedahkan

Lazimnya, anda disaran untuk tidak mendedahkan keadaan autisme anda semasa proses permohonan kerja, kerana ini mungkin menyebabkan permohonan anda ditolak. Mendedahkan selepas menerima kritikan mungkin kelihatan seperti anda menggunakan diagnosa untuk mengelakkan tanggungjawab. Sebaik-baiknya, dedahkan apabila keadaan berjalan lancar di tempat kerja. Bentangkan diagnosa anda secara positif dan mohon pelarasan khusus yang akan membantu anda melakukan yang lebih baik.

Memilih kepada siapa perlu didedahkan

Mengetahui kepada siapa untuk didedahkan adalah penting. Mulakan dengan jabatan Sumber Manusia (HR), kerana mereka boleh membimbing anda melalui proses yang betul. Buku panduan pekerja mungkin mengandungi maklumat tentang permohonan pelarasan khusus. Disebaliknya, anda boleh berbincang dengan penyelia atau pengurus berkaitan.

Di Malaysia, undang-undang mewajibkan majikan merahsiakan maklumat perubatan anda. Ini termasuk butiran tentang ketidakupayaan anda dan sebarang pelarasan yang anda terima. Ini bermakna anda tidak perlu memberitahu rakan sekerja anda tentang autisme anda atau sebab penyesuaian anda. Mereka mungkin sedar akan pelarasan seperti rehat tambahan atau waktu kerja fleksibel, tetapi mereka tidak berhak mengetahui sebabnya.

Sokongan kendiri tanpa pendedahan

Sokongan kendiri melibatkan mengetahui bila dan cara yang terbaik mendekati orang lain untuk berunding bagi mendapatkan sokongan yang anda perlukan untuk berjaya dan berasa difahami. Kadangkala, anda mungkin perlu berkongsi beberapa maklumat peribadi, terutamanya jika sokongan yang anda minta memerlukan penjelasan lanjut. Adalah penting untuk memahami jumlah maklumat yang perlu dikongsi dan kesesuaian masa untuk diberitahu.

Dalam sebahagian besar keadaan, anda boleh meminta pelarasan tanpa menyebut diagnosa autisme anda. Sebagai contoh, anda boleh menjelaskan bahawa lampu pendarfluor menyakiti mata sensitif anda tanpa mendedahkan autisme anda. Menggunakan bahasa yang mudah dan jelas adalah kunci kepada kejayaan permintaan anda dan anda tidak perlu memberikan butiran khusus tentang ketidakupayaan anda.

Berikut adalah beberapa contoh:

  • “Saya melaksanakan kerja lebih baik jika menerima maklum balas. Bolehkah kita menyemak seketika prestasi saya setiap hari untuk memastikan saya berada di landasan yang betul?”
  • “Berehat 5 minit setiap jam sangat membantu produktiviti saya. Bolehkah kita mencuba ini selama seminggu dan menilai kejayaannya?”
  • “Keadaan mata saya sangat sensitif kepada cahaya terlalu terang. Bolehkah saya mohon untuk ditempatkan di kawasan dengan pencahayaan yang lebih lembut?”

Petua untuk sokongan kendiri tanpa pendedahan

  • Memohon kemudahan penyesuaian:
    Rangkakan permintaan anda berdasarkan keperluan atau keutamaan khusus dan bukannya keadaan perubatan bagi mengelakkan daripada mendedahkan diagnosa autisme anda.
  • Memperlihatkan daya usaha:
    Serlahkan daya usaha pelaksanaan anda dan bagaimana ini menyumbang kepada peranan anda. Ini boleh mengalihkan tumpuan daripada potensi cabaran kepada nilai yang anda bawa kepada pasukan.
  • Dapatkan sokongan luaran: Gunakan sumber di luar kawasan kerja seperti terapi cara kerja, bimbingan atau kumpulan sokongan, untuk membantu mengurus cabaran berkaitan kerja.

Apakah pelarasan munasabah dan mengapa ini penting?

Pelarasan yang munasabah, juga dikenali sebagai penyesuaian, membantu orang kurang upaya melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik. Ini termasuk waktu yang fleksibel, ruang kerja yang tenang, alatan khas, arahan yang jelas atau pelarasan dalam penyeliaan. Yang penting, pelarasan ini tidak menurunkan mutu prestasi atau mengalih peranan fungsi kerja yang penting. Pelarasan munasabah adalah penting untuk mewujudkan persekitaran inklusif di mana semua yang terlibat boleh berkembang maju.

Proses biasa untuk pelarasan tempat kerja selalunya tertumpu pada ketidakupayaan yang boleh dilihat dengan penyelesaian dan kos yang jelas. Sebagai contoh, semua orang memahami bahawa seseorang yang berkerusi roda memerlukan ruang yang boleh diakses. Walau bagaimanapun, dengan ketidakupayaan yang tidak nyata seperti autisme, terlebih dahulu anda perlu meyakinkan majikan bahawa anda mempunyai keperluan yang berbeza. Pun begitu, kesukaran akan timbul jika sebelum ini anda telah cuba untuk menyerapkan diri pada persekitaran yang sedia ada tetapi langkah tersebut mengecewakan.

Contoh berguna Pelarasan Munasabah

Jenis pelarasan munasabah yang diperlukan untuk pekerja autisme berbeza mengikut keadaan individu. Sebahagian besar memerlukan pelbagai jenis pelarasan di tempat kerja mereka. Ada yang mudah dan murah, manakala yang lain memerlukan perancangan yang lebih terperinci. Selain itu, tanggungjawab tugas boleh berubah mengikut keperluan perniagaan. Pelarasan yang munasabah adalah penting bukan sahaja untuk mengekalkan pekerjaan tetapi juga untuk memeliharanya, kerana tugas dan penyelia mungkin berubah dari semasa ke semasa.

Bahagian ini menyediakan contoh pelarasan yang berguna. Kebanyakan pelarasan ini adalah perkara biasa kepada sebahagian besar orang autisme. Kebanyakannya hanya piawaian amalan baik yang membantu semua orang, bukan khusus kepada orang autisme. Walaupun komunikasi yang tidak jelas lebih menjejaskan orang autisme, komunikasi yang jelas memberi manfaat kepada semua.

 

  1. Penyesuaian Sensori:
    • Pelarasan untuk keperluan deria, seperti memakai penyumbat telinga/fon kepala yang melenyapkan hingar, berehat pergerakan, pencahayaan yang disesuaikan, persekitaran yang nyaman, senyap dan persekitaran kerja yang kurang gangguan.
  2. Susunan Kerja Fleksibel:
    • Fleksibiliti untuk bekerja dari rumah atau pejabat.
    • Waktu kerja fleksibel atau waktu rehat dalam pekerjaan berasaskan waktu yang telah ditetapkan; waktu kerja yang konsisten berasaskan syif kerja.
  3. Pelarasan Tugas dan Proses:
    • Semakan dan perancangan:
      • Semakan tugasan dan pencapaian kerja yang dilakukan setiap hari dan setiap minggu.
      • Mewujudkan matlamat dan keutamaan yang perlu dicapai.
      • Menetapkan jangkaan dan akibat yang jelas.
      • Meminta notis mesyuarat dan topik yang akan dibincang lebih awal.
      • Memperuntukkan tugasan dengan garis masa atau tarikh penyiapan yang jelas
    • Pengurusan tugas:
      • Bantuan untuk memecahkan projek yang panjang dan tugas yang kompleks kepada penugasan yang berupaya diselaraskan.
      • Meminta tugasan yang sistematik dan boleh disangka.
      • Notis awal tentang perubahan pada rutin.
    • Komunikasi:
      • Kaedah komunikasi alternatif (cth, e-mel atau pesanan teks).
      • Membenarkan tindak balas bertulis dan bukannya lisan.
    • Alat bantuan visual:
      • Proses kerja yang digambarkan menerusi carta aliran tugas
      • Maklumat dan arahan boleh dibentangkan dalam bentuk grafik yang jelas dan padat.
  4. Sistem Sokongan
    • Program bimbingan, jurulatih kerja dan program bantuan pekerja.

Kesimpulan

Mewujudkan persekitaran kerja inklusif untuk dewasa autisme melibatkan pemahaman keperluan individu tersebut dan penyediaan pelarasan yang munasabah. Perubahan ini, seperti penyesuaian deria, waktu kerja yang fleksibel dan komunikasi yang jelas, boleh membantu pekerja autisme berkembang maju. Pendedahan keadaan autisme adalah pilihan peribadi dan majikan harus menyokong keputusan ini. Dengan membuat pelarasan yang diperlukan, majikan boleh meraih manfaat daripada daya produktiviti individu autisme yang unik melalui kewujudan persekitaran kerja yang lebih inklusif.

Rujukan