Menyokong remaja autisme: kesihatan mental dan cabaran biasa
Pengenalan
Zaman remaja adalah sebahagian perjalanan hidup yang serba mencabar dialami oleh semua orang. Pelbagai perubahan jasmaniah sedang berlaku seterusnya melahirkan pengalaman baharu yang ada kalanya boleh terasa menggembirakan dan diwaktu yang sama menimbulkan kekhuatiran.
Bagi remaja autisme, cabaran ini boleh meningkat disebabkan kurang kesedaran kepada perubahan yang sedang berlaku. Mereka membesar dalam dunia yang sering dianggap direka hanya untuk orang lain dan ini boleh membawa kepada keresahan, tekanan dan kesunyian yang mengharukan. Apabila ditokokkan dengan kerumitan autisme tahap keharuan ini akan lebih mencabar. Oleh itu, perjuangan kesihatan mental boleh dianggap keutamaan yang memerlukan perhatian jitu.
Tujuan artikel ini adalah untuk membantu ibu bapa dan pendidik memahami cabaran kesihatan mental yang mungkin dihadapi oleh remaja autisme. Kami akan berbincang tentang kesukaran yang sering mereka alami dan berkongsi beberapa strategi mudah untuk memberi mereka sokongan yang sangat diperlukan. Dengan mengesan isu kesihatan mental lebih awal dan menawarkan jenis bantuan yang seharusnya, anda boleh membuat perubahan besar dalam membantu remaja autisme berasa lebih yakin dan selamat sepanjang zaman penting yang sedang mereka mengalami.
![Memperkenalkan](https://marf.org.my/wp-content/uploads/2024/10/introduce.jpg)
Memahami perkembangan otak remaja
Dalam proses menyokong kesihatan mental remaja autisme, adalah penting untuk memahami cara perubahan pada otak mereka semasa zaman remaja. Tempoh ini penuh dengan perkembangan otak yang hebat, yang mempengaruhi emosi, cara mereka membuat keputusan dan tingkah laku.
Sepanjang tempoh ini, sistem limbik — yaitu bahagian otak yang tugasnya mengawal emosi dan mencari ganjaran — menjadi sangat aktif. Sementara itu, cortex prefrontal, bahagian hadapan otak yang tugasnya untuk membuat keputusan dan mengawal gerak hati (impulse), masih dalam proses pematangan. Ketidakseimbangan ini menjadikan remaja lebih peka terhadap perubahan emosi dan lebih cenderung untuk bertindak atas dorongan tanpa mengambil kira sepenuhnya akibat perbuatannya.
Perkembangan otak tidak berlaku pada kelajuan yang sama untuk semua orang. Sama seperti kanak-kanak membesar pada kadar yang berbeza, otak mereka juga berkembang secara berbeza. Cortex prefrontal, yang membantu merancang dan mengawal gerak hati, mungkin belum mencapai kematangan sepenuhnya sehingga usia sekitar 25 tahun. Sebaliknya, amigdala, bahagian otak yang menangani emosi yang kuat seperti ketakutan dan kemarahan, akan matang lebih awal. Perbezaan ini menjelaskan mengapa remaja sering bertindak balas berdasarkan perasaan dan bukannya logik.
Bagi remaja autisme, perubahan otak ini boleh muncul dengan cara tertentu. Mereka mungkin bergelut dengan menguruskan emosi mereka, yang membawa kepada kehilangan pengawalan emosi atau pemberhentian apabila keadaan terlalu dikuasai perasaan. Mereka juga mungkin sukar untuk merancang dan mengatur tugas, yang boleh menyebabkan kekecewaan dalam kehidupan seharian mereka.
Cabaran kesihatan mental biasa
Remaja autisme menghadapi beberapa cabaran kesihatan mental dan cara kita memahami cabaran yang dialami mereka adalah kunci untuk menawarkan sokongan yang seharusnya.
Faktor-faktor yang menyumbang kepada cabaran kesihatan mental
Beberapa faktor menyumbang kepada cabaran kesihatan mental yang dihadapi oleh remaja autisme dan memahami faktor ini boleh membantu anda memberikan sokongan yang lebih menepati keperluan.
Suatu faktor besar adalah rintangan komunikasi. Ramai remaja autisme mengalami kesukaran untuk meluahkan perasaan mereka dan memahami orang lain, yang boleh menyebabkan kekecewaan dan perasaan terpinggir. Apabila mereka bergelut untuk menyampaikan keperluan mereka atau memahami isyarat sosial, ini boleh menyebabkan salah faham dan meningkatkan keresahan mereka.
Kestabilan persekitaran keluarga adalah satu lagi faktor genting. Keluarga dengan anak autisme, terutamanya mereka yang mempunyai keperluan sokongan yang lebih tinggi, menghadapi cabaran besar yang boleh membebankan. Bagi memudahkan ibu bapa dan penjaga memberi sokongan yang berkesan kepada remaja autisme mereka, kestabilan dari segi emosi dan sokongan yang mencukupi sangat penting. Penjagaan diri adalah keutamaan bagi ibu bapa dan adalah penting bagi masyarakat dan komuniti menunjukkan lebih empati dan persefahaman untuk keluarga ini, menawarkan bantuan apabila diperlukan.
Pembulian dan stigma juga merupakan isu utama. Cabaran sosial boleh menjadikan remaja autisme lebih terdedah kepada buli, yang boleh menjejaskan harga diri dan kesihatan mental mereka dengan teruk. Disalahfahami atau dikecualikan juga boleh menyebabkan keresahan, kemurungan dan menyisihkan diri daripada aktiviti sosial.
Mengemudi perubahan amat sukar untuk remaja autisme. Perubahan dalam peralihan rutin atau kehidupan, seperti berpindah dari sekolah rendah ke sekolah menengah atau menyesuaikan diri dengan jangkaan sosial baharu, boleh menguasai perasaan.
Tambahan pula, perubahan jasmani dan emosi semasa akil baligh menambah lagi lapisan kerumitan yang mereka mengalami. Akil baligh membawa perubahan ketara dalam tubuh dan emosi, yang boleh mengelirukan dan menyusahkan, terutamanya apabila digabungkan dengan kesukaran sosial dan komunikasi. Perubahan ini boleh meningkatkan tekanan dan keresahan, menjadikannya lebih sukar bagi mereka untuk menghadapi cabaran kehidupan seharian.
Mengenali tanda-tanda pergelutan kesihatan mental
Adalah sukar untuk mengesan masalah kesihatan mental pada remaja autisme, tetapi terdapat tanda-tanda utama yang perlu diberi perhatian. Lazimnya, perubahan dalam tingkah laku paling ketara. Jika remaja autisme tiba-tiba menjadi lebih menyisihkan diri, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa mereka nikmati, atau mengalami perubahan mood, ini boleh menjadi tanda kesedihan yang tersembunyi.
Remaja autisme mungkin tidak selalu meluahkan perasaan mereka dengan kata-kata, maka adalah penting untuk memberi perhatian kepada tanda bukan lisan. Perubahan dalam corak tidur, selera makan atau tahap tenaga boleh menjadi petunjuk bahawa ada sesuatu yang tidak mengena. Begitu juga, mengelakkan interaksi sosial atau tumpuan luar biasa pada tingkah laku tertentu juga boleh menunjukkan tanda pergelutan emosi.
Menyokong remaja autisme
Menyokong kesihatan mental remaja autisme memerlukan pendekatan bertimbang rasa yang menangani keperluan unik mereka. Berikut adalah beberapa langkah berguna yang boleh digunapakai oleh ibu bapa:
Wujudkan persekitaran yang stabil
- Rutin harian yang mantap menyediakan persekitaran yang selamat.
- Komunikasi yang jelas tentang sebarang perubahan membantu mereka berasa lebih bersedia dan kurang cemas.
Bersedia untuk awalan akil baligh
- Mulakan penyediaan remaja anda lebih awal untuk memahami perubahan jasmani semasa akil baligh.
- Bincangkan perkara yang akan berlaku, terangkan bahawa perubahan ini adalah keadaan semula jadi dalam tumbesaran, dan bina keyakinan mereka.
- Persediaan ini boleh mengurangkan keresahan dan membantu mereka mengemudi peringkat ini dengan lebih yakin.
Galakkan riak wajah emosi
- Bantu remaja anda meluahkan perasaan mereka—melalui bertutur, menulis atau aktiviti kreatif seperti lukisan atau muzik.
- Bantu mereka membezakan antara emosi yang serupa, seperti kemarahan dan kekecewaan.
- Tanya soalan terbuka untuk menggalakkan perkongsian tetapi hormati batasan mereka jika mereka tidak bersedia untuk bercakap.
Menggalakkan semangat berdikari dan penyelesaian masalah
- Biarkan anak remaja anda mencuba tugasan sendiri untuk membina keyakinan dan daya tahan.
- Beri mereka masa untuk menangani cabaran sebelum menawarkan bantuan.
- Jika mereka bergelut, bimbing mereka tentang pendekatan yang berbeza atau bekerjasama mencari penyelesaian.
- Ajar mereka untuk menangani kekecewaan dan membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah.
- Galakkan mereka untuk meminta bantuan apabila diperlukan.
- Tegaskan bahawa tidak mengapa untuk menyebut “tidak” kepada situasi yang tidak selesa untuk melindungi daripada pembulian atau penganiayaan.
Menyediakan ruang mesra deria
- Sesuaikan persekitaran di rumah dan di sekolah untuk memenuhi keperluan deria remaja anda.
- Cipta ruang yang tenang dan menenangkan untuk mengurangkan beban deria.
- Bantu mereka menguruskan tekanan dan berasa lebih selesa.
Tekankan interaksi sosial yang positif
- Bantu remaja anda mencari komuniti inklusif dan kumpulan sosial yang sepadan dengan minat mereka.
- Galakkan interaksi dalam persekitaran yang mereka rasa diterima dan difahami.
- Persekitaran inklusif memupuk empati, kepimpinan dan rasa kekitaan.
- Sokong remaja anda berhubung dengan orang yang berkomunikasi secara berbeza untuk membina kemahiran sosialnya.
Strategi sokongan berguna
- Memperkenalkan strategi harian untuk membantu remaja anda menguruskan tekanan dan emosi.
- Gunakan teknik seperti kesedaran, senaman beristirahat atau pernafasan mudah.
- Menangani penggunaan bahasa yang merugikan diri sendiri (“Saya tidak boleh melakukannya,” “Mengapa perlu bersusah payah”) dengan membina keyakinan.
- Mulakan dengan tugas yang mampu diurus dan tingkatkan kerumitan yang perlu diatasi secara beransur-ansur.
Lihat Bila Perlu Mendapatkan Bantuan Profesional
Mengetahui bilakah masa yang perlu untuk mendapatkan bantuan profesional adalah penting. Walaupun sebahagian besar cabaran yang dialami adalah lumrah kehidupan, keresahan berterusan, kemurungan atau tingkah laku mencederakan diri mungkin bermakna sudah tiba masanya untuk mendapatkan bantuan yang seharusnya. Isu ini adalah perkara biasa dalam kalangan individu autisme dan lazimnya memerlukan sokongan profesional seperti terapi khusus atau ubat.
Seperti juga anda berjumpa doktor untuk penyakit fizikal, adalah penting untuk berunding dengan profesional kesihatan mental bagi menangani pergelutan emosi atau psikologi. Otak seseorang, seperti bahagian tubuh yang lain, memerlukan penjagaan yang betul. Pelbagai keadaan kesihatan mental, termasuk keresahan dan kemurungan, boleh dirawat dengan berkesan melalui terapi dan ubat.
Jika remaja anda bercakap tentang mencederakan diri sendiri atau membunuh diri, anda perlu mengambil tindakan segera. Ini adalah tanda-tanda kesedihan yang tersembunyi dan penting untuk menanganinya dengan segera. Soal remaja anda dengan terus terang tentang perasaan mereka dan sama ada mereka mempunyai rancangan untuk berbuat demikian. Jika mereka meneruskan rancangan tersebut, dapatkan bantuan segera daripada penyedia kesihatan mental, pusat krisis atau hospital.
Kesimpulan
Memberi sokongan padu kepada remaja autisme anda sepanjang zaman remaja mereka sangat mencabar, tetapi ingat—anda tidak perlu menjalaninya bersendirian. Membesarkan anak memerlukan kerjasama semua yang terlibat dan dengan sokongan yang seharusnya, boleh membantu remaja autisme berkembang maju. Semasa anda membimbing anak anda, berempati terhadap perjuangan mereka dan jangan lupa untuk menjaga diri anda juga. Dengan mewujudkan rutin yang mantap, menggalakkan riak wajah emosi, memupuk semangat berdikari dan mengetahui masa yang perlu untuk mendapatkan bantuan, boleh menyokong mereka untuk menjadi dewasa yang yakin dan berdikari.
Mendapatkan sokongan kesihatan mental
Remaja di Malaysia yang memerlukan sokongan kesihatan mental boleh mendapatkan bantuan dari beberapa tempat:
- Kaunselor sekolah: Tersedia sebahagian besar sekolah untuk menyediakan sokongan kesihatan emosi dan mental.
- Hospital dan klinik: Penyedia penjagaan kesihatan awam dan swasta menawarkan perkhidmatan kesihatan mental dan rujukan pakar. Hubungi doktor anak anda untuk mendapatkan bimbingan.
- Perkhidmatan sokongan psikologi: Termasuk pengamal terapi awam dan swasta seperti ahli psikologi klinikal dan kaunselor. Sila rujuk dengan ahli terapi untuk sokongan khusus.
- Talian Bantuan Sokongan Emosi:
- Sokongan krisis:
- Befrienders Malaysia: Talian penting 24-jam 03-7627 2929
- MIASA (Mental Illness Awareness & Support Association): Talian bantuan 1800-18-6676
Ini bukan senarai lengkap. Jika anda memerlukan lebih banyak pilihan bantuan, hubungi doktor atau ahli terapi anak anda untuk mendapatkan sokongan tambahan.
Sumber dan bacaan selanjutnya
Teen Brain Development
- American Academy of Pediatrics. What’s Going On in the Teenage Brain?
- University of Rochester Medical Center. Understanding the Teen Brain
- University of California. The Evolutionary Advantage of the Teenage Brain
- Malaysian Autism Resource Foundation (MARF). Sexuality Education and Protection Issues: Nurturing Healthy Conversations about Sexuality. Dr. Amar-Singh HSS.
- Milestones Autism Resources. Mental Health and Teens: Understanding the Issues and Supporting Them
- National Autistic Society. Mental Health
- Raising Children Network. Depression and low mood: autistic teenagers