Memahami dan menangani perlakuan buli dalam kanak-kanak autisme
Pengenalan
Apakah membuli atau mengerasi?
Perbuatan membuli berlaku apabila seseorang dengan sengaja terus menyekati dan menyakiti orang lain. Perlakuan buli adalah fenomena dimana seseorang mempunyai daya dan kuasa yang lebih daripada mangsanya. Perbuatan membuli boleh melalui fizikal (memukul), lisan (mengejek) atau psikologi (menyebarkan fitnah dan khabar angin). Buli boleh berlaku secara peribadi atau dalam talian.
![Asset 3@4x](https://marf.org.my/wp-content/uploads/2024/08/Asset-3@4x-5.png)
Perbuatan membuli atau mengerasi yang kian meningkat di sekolah-sekolah Malaysia adalah fenomena yang kian membimbangkan, dengan peningkatan ketara dalam kes-kes yang dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), semenjak Oktober 2023 terdapat 4,994 kes buli, berbanding 3,887 pada 2022 dan hanya 326 pada 2021.
Golongan muda autisme adalah kumpulan yang amat terdedah, dengan hampir satu daripada dua pelajar berisiko dibuli fizikal, lisan atau sosial di sekolah (Maïano et al., 2016; Käld et al., 2022).
Buli berlaku apabila seseorang berulang kali dan sengaja menyekat, menyakiti, menakutkan atau mengganggu orang lain. Terdapat pelbagai jenis buli, termasuk:
- Buli fizikal: Memukul, menampar atau berkasar dengan seseorang.
- Buli lisan: Mengejek, mengumpat atau mengancam seseorang.
- Penderaan bukan lisan: Menggunakan isyarat tangan atau menghantar mesej teks yang berbahaya.
- Penderaan emosi: Mengancam, menakut-nakutkan atau mengaibkan seseorang dengan jenaka jahat.
- Pengecualian: Mengabaikan atau mengecualikan seseorang daripada permainan dan aktiviti atau menggalakkan orang lain untuk melakukan ini.
- Melemahkan: Kritikan berterusan, menyebarkan fitnah dan khabar angin atau memanipulasi seseorang.
- Panggilan telefon tetapi tidak bertutur, penipuan atau panggilan telefon yang bertutur dengan kata-kata kesat.
Membuli boleh berlaku di banyak tempat seperti pra-sekolah, sekolah, kelab sukan, kumpulan kurikulum luar sekolah atau tempat kerja.
Dengan kemudahan Internet dan telefon bimbit, perbuatan membuli kini boleh berlaku semasa dan di luar waktu sekolah. Membuli atas talian digelar membuli siber, dimana teknologi digital digunakan untuk menghantar pesanan teks berniat jahat, membuat komen yang menyakitkan hati atau mengganggu dan mengaibkan. Pesanan-pesanan berniat jahat dihantar melalui teks, e-mel, laman sesawang, permainan atas talian dan rangkaian sosial.
Membuli sentiasa berbahaya dan boleh menyebabkan kerosakan – samada mental atau fizikal – yang mengakibat kesan kesihatan mental berpanjangan.
Perbuatan membuli atau mengerasi adalah fenomena yang perlu diberi perhatian segera dan dinoktahkan.
Memahami perlakuan membuli berkaitan kanak-kanak autisme
Kanak-kanak dan golongan muda autisme lazimnya lebih berisiko dibuli kerana cara mereka berkomunikasi dan berinteraksi yang berbeza. Apabila mereka semakin dewasa, rakan sebaya mereka lebih menyedari perbezaan ini. Mereka mungkin sukar membaca air muka dan bahasa gerak-geri, menjadikannya sukar bagi mereka untuk mengetahui sama ada seseorang itu peramah atau jahat. Ini boleh menjadikan mereka sasaran mudah, terutamanya jika mereka lebih suka bermain bersendirian.
Di sekolah dan di taman permainan, kanak-kanak lain mungkin menyasar mereka kerana dilihat melakukan tingkah laku aneh seperti mengepak tangan atau membuat komen yang tidak sesuai. Selain itu, kanak-kanak autisme mungkin tidak mempunyai struktur sokongan di sekeliling mereka, yang menjadikan mereka lebih terdedah kepada perlakuan buli.
Dalam kajian yang dilakukan oleh Anti-Bullying Alliance, UK (2023), golongan muda autisme berkongsi beberapa sebab mengapa mereka sering disasar oleh pembuli:
- Kelihatan berbeza: Mereka menonjol kerana cara berkomunikasi dan tingkah laku mereka yang berbeza dan yang lain sering tidak memahami autisme.
- Kurang empati dan pemahaman: Secara umumnya terdapat kekurangan kesedaran tentang autisme di sekolah, yang membawa kepada pandangan negatif.
- Sokongan khas: Kadangkala, sokongan khas yang disediakan untuk pelajar autisme menjadikannya menonjol atau menimbulkan rasa cemburu pelajar-pelajar lain.
- Persekitaran sekolah: Kekurangan sumber dan sokongan, bersama dengan budaya sekolah yang kurang empati, boleh meningkatkan risiko mereka akan dibuli.
Kesan buruk ekoran dibuli
Perlakuan membuli mengakibatkan kesan yang buruk kepada kanak-kanak autisme, menjejaskan pembelajaran dan keselamatan mereka. Penyelidikan mengaitkan membuli dengan isu kesihatan mental jangka pendek seperti keresahan, kemurungan dan mencederakan diri. Akibat jangka panjang termasuk pendapatan yang lebih rendah jika mereka bekerja dan kegagalan untuk menjalin hubungan peribadi yang baik.
Membuli berkait rapat dengan ketidakhadiran ke sekolah. Kira-kira 16,000 children aged 11-15 tidak hadir ke sekolah pada sesuatu masa kerana perlakuan membuli, dengan kanak-kanak yang dibuli tiga kali lebih berkemungkinan untuk ponteng sekolah.
Golongan muda autisme telah melaporkan kesan buli seperti berikut:
- Pengecualian dan pengasingan sosial
- Masalah kesihatan mental
- Kehilangan harga diri
- Ketidakpercayaan terhadap keupayaan sekolah untuk membantu
- Hubungan dan interaksi yang tegang dengan orang lain
Rujukan
- Käld E, Beckman L, Eapen V, Lin P. Exploring Potential Modifiers of the Association Between Neurodevelopmental Disorders and Risk of Bullying Exposure. JAMA Pediatr. 2022;176(9):940–941. doi:10.1001/jamapediatrics.2022.1755
- Maïano C, Normand CL, Salvas MC, Moullec G, Aimé A. Prevalence of school bullying among youth with autism spectrum disorders: a systematic review and meta‐analysis. Autism Res 2016;9:601-615.
Bacaan Tambahan
Mengenali tanda-tanda perlakuan buli
Apa yang perlu dilakukan jika anak anda dibuli?