Cara-cara membuat pilihan untuk Terapis Perututuran dan Bahasa (TERAPIS PERTUTURAN) di Malaysia
Terdapat lebih 300 terapis pertuturan dan bahasa (Speech Language Therapist – SLT) yang berkhidmat di Malaysia. Maka memilih seorang yang dapat menyokong anda atau orang tersayang adalah penting dalam meningkatkan kemahiran komunikasi dan kualiti hidup secara keseluruhan.
Berikut adalah panduan untuk membantu anda membuat keputusan yang penting:
Memahami Peranan Terapis pertuturan dan Bahasa
Peranan terapis pertuturan dan bahasa (SLT) adalah membantu individu yang mempunyai pelbagai masalah berkomunikasi dan kesukaran menelan makanan serta minuman. Mereka menawarkan khidmat kepada semua peringkat umur, merangkumi kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam perkembangan pertuturan dan Bahasa serta orang dewasa yang sedang pulih daripada penyakit angin ahmar atau menghadapi penyakit lain seperti kanser, kecederaan otak, Parkinson’s, atau demensia yang mempengaruhi kemampuan berkomunikasi dan menelan makanan serta minuman mereka.
Mengenal pasti keperluan anda
Langkah pertama dalam memilih seorang terapis pertuturan adalah mengenal pasti keperluan khusus anda atau keperluan orang tersayang. Kepakaran mereka merangkumi:
- Gangguan Pertuturan: Kesukaran menghasilkan bunyi atau perkataan.
- Gangguan Bahasa dan Kecelikhurufan: Masalah dalam memahami atau menggunakan perkataan dengan betul.
- Gangguan Komunikasi Sosial: Cabaran menggunakan bahasa atau gerak-geri yang sesuai dalam persekitaran sosial
- Gangguan Suara: Masalah dengan nada, kekuatan, atau kualiti suara.
- Kesukaran untuk Menelan (Disfagia): Kesukaran menelan makanan atau cecair.
Mengenal pasti cabaran khusus akan membantu anda membuat pilihan untuk terapis pertuturan yang mempunyai kepakaran yang sesuai.
Cadangan untuk Pencarian
Mulakan dengan mencari terapis pertuturan tempatan. Anda boleh meminta cadangan daripada:
- Persatuan Profesional: Persatuan Pertuturan, Bahasa & Pendengaran Malaysia (MASH) mempunyai senarai ahli berdaftar yang dikategori berdasarkan lokasi (contoh: Selangor, Sabah, Sarawak) dan jenis perkhidmatan (contoh: awam, swasta, lawatan rumah) dalam direktori mereka. Harap maklum bahawa terdapat beberapa terapis pertuturan yang berkelayakan untuk menyediakan perkhidmatan tetapi mereka bukan ahli MASH.
- Profesional Kesihatan: Doktor, terutamanya pakar kanak-kanak atau pakar neurologi/saraf, sering mempunyai kenalan dengan terapis pertuturan yang sesuai.
- Sekolah dan Institusi Pendidikan: Terdapat sekolah yang menyediakan perkhidmatan terapis pertuturan atau boleh mencadangkan terapis tempatan dalam rangkaian mereka.
- Kumpulan Sokongan dan Komuniti Dalam Talian: Ibu bapa atau individu yang mengalami situasi yang serupa boleh memberi nasihat.
Penilaian Kelayakan
Di Malaysia, terapis pertuturan yang berkelayakan diperlukan mempunyai ijazah yang sesuai daripada institusi yang diiktiraf seperti yang disenaraikan di sini. Mereka diperlukan berdaftar dengan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (Malaysian Allied Health Professions Council (MAHPC)) yang dibawah kawalan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 774. Ini bermakna mereka perlu mempunyai sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dalam Patologi Pertuturan/Ilmu Pertuturan atau Sarjana Klinikal dalam Terapi Pertuturan dan telah menjalani latihan praktikal dengan jumlah masa yang ditetapkan.
MAHPC masih dalam proses pendaftaran terapis pertuturan dan belum mengendalikan portal untuk semakan orang awam[setakat July 2024]. Semua pertanyaan boleh diajukan melalui e-mel ke mahpc@moh.gov.my untuk semakan kesahihan. Terapis pertuturan perlu mengemukakan nombor pendaftaran dan sijil amalan seperti contoh berikut:
![Asset 2@4x](https://marf.org.my/wp-content/uploads/2024/08/Asset-2@4x-8.png)
Badan profesional seperti Persatuan Pertuturan, Bahasa & Pendengaran Malaysia (MASH) memastikan bahawa ahli-ahlinya mematuhi tahap kualiti amalan yang tinggi dan sentiasa mengusahakan pembangunan profesional mereka.
Menilai keserasian
Hubungan yang membantu antara terapis pertuturan dan pesakit adalah penting bagi memastikan terapi berjalan dengan jayanya. Rundingan awal perlu dijadualkan untuk mengenalpasti kesesuaian pendekatan terapis pertuturan sepadan dengan keperluan anda. Semasa rundingan tersebut, digalakkan memberi pertimbangan kepada perkara berikut:
- Gaya Komunikasi: Adakah terapis menerangkan perkara dengan jelas dan peka kepada kekhuatiran anda?
- Personaliti: Adakah terapis pertuturan mempamerkan sifat bersabar, empati dan memberi dorongan yang sesuai?
- Pendekatan Terapi: Adakah mereka menggunakan kaedah yang terbukti berkesan dan sesuai untuk anda atau orang tersayang? Mereka perlu sediakan contoh artikel yang telah diterbitkan, pautan laman sesawang, statistik, atau ulasan peribadi yang menyokong pendekatan mereka.
Menilai Perancangan Terapi
Seorang terapis pertuturan perlu menyediakan perancangan terapi yang jelas dan sesuai. Perancangan ini perlu mengandungi matlamat, kaedah yang akan digunakan dan jangka masa yang dianggarkan untuk pencapaian kejayaan. Pastikan perancangan tersebut berdasarkan kenyataan dan bersesuaian dengan keperluan serta matlamat peribadi anda. Berikut adalah beberapa soalan yang boleh diajukan kepada terapis pertuturan anda:
- Apakah risiko-risiko yang terlibat?
- Adakah pilihan lain yang lebih mudah dan selamat?
- Apa yang akan berlaku jika saya tidak bertindak?
- Bagaimana cara untuk menilai tahap kejayaan dan keberkesanan?
Mempertimbangkan Perancangan Penempatan yang Praktis
Pertimbangan terhadap perancangan penempatan yang praktis amat penting. Yuran terapi pertuturan yang dikendalikan profesional kesihatan swasta adalah mahal kerana perancangan pemulihan akan memakan masa yang panjang. Berikut adalah perkara yang harus dipertimbangkan:
- Lokasi: Adakah kemudahan tersebut terletak di tempat yang mudah diakses? Adakah terapis pertuturan menyediakan pilihan teleterapi?
- Ketersediaan: Adakah jadual terapis pertuturan sepadan dengan jadual anda? Siapa pengganti mereka semasa ketiadaan mereka?
- Kos: Adakah sesi terapi tersebut mampu milik, dan adakah dilindungi oleh skim insurans atau pilihan pembiayaan lain yang dikendalikan oleh badan amal/NGO?
Contohnya, the Malaysian Resource Centre for Hearing and Speech-language (MARCHES) menaja sesi terapi pertuturan untuk kanak-kanak dari kumpulan sosio-ekonomi tertentu dengan membayar yuran terus kepada terapis pertuturan.
Penilaian berterusan
Kesimpulan
Memilih terapis pertuturan di Malaysia melibatkan pertimbangan yang teliti terhadap kelayakan, amalan berasaskan bukti, keserasian dan penempatan yang praktis. Dengan meluangkan masa untuk meneliti dan menilai pilihan, anda boleh menemui terapis pertuturan yang akan menyokong anda dan orang tersayang dalam perjalanan meraih kemahiran komunikasi yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup.
Penulis
Rencanal ini ditulis oleh Tay Chia Yi, seorang terapis pertuturan dan bahasa (Speech Language Therapist – SLT) yang bertugas di hospital dan pakar dalam penjagaan akut. Beliau juga terlibat dalam rehabilitasi komuniti bersama NGO, menyokong pasangan penjaga dan individu yang hidup dengan demensia. Beliau mempunyai minat terhadap pendekatan yang mengiktiraf kepelbagaian pemikiran dan deria, menyokong pendekatan terapi yang inklusif, sesuai, dan berempati. Kini, Chia Yi berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pertuturan, Bahasa & Pendengaran Malaysia (Malaysian Association for Speech & Hearing – MASH) dengan matlamat memperjuangkan hak dan kesejahteraan komuniti kurang upaya dan pasangan penjaga mereka. Chia Yi berazam membina kualiti hidup kumpulan yang kurang diberi perhatian, melalui penciptaan persekitaran yang menyokong dan inklusif. Ini dicapai melalui sokongan untuk kaedah Komunikasi Penambahan & Gantian (AAC). Beliau juga fasih berkomunikasi dalam Bahasa Isyarat Malaysia (Malaysian Sign Language – MySL).