Mengajar kanak-kanak mengenalpasti emosi
Pengenalan
Memahami emosi diri adalah kunci kejayaan untuk bergaul mesra dengan masyarakat sekeliling. Apabila kita berjaya mengenalpasti perasaan diri, ini membantu kita meluahkan perasaan dengan jelas dan menguruskan emosi dengan berkesan. Begitu juga, mengenali emosi orang lain membolehkan kita bertindak balas terhadapnya dengan cara yang sesuai daripada segi pergaulan sosial.
Artikel ini akan memberi tumpuan kepada mengenali emosi diri dan juga orang lain sebagai asas untuk mempelajari pengawalan emosi. Kami akan membincangkan strategi untuk mengurus emosi dalam artikel lain.
Memahami Autisme dan Emosi
Kanak-kanak autisme sering mengalami kesukaran untuk mengenali dan memahami emosi, sama ada membaca air muka, bahasa gerak-geri atau nada suara. Ini boleh menyukarkan mereka untuk mengenal pasti dan meluahkan perasaan mereka sendiri, yang membawa kepada kemarahan, kekecewaan atau kehilangan kawalan emosi.
Mereka juga mungkin mentafsirkan semua emosi negatif sebagai kemarahan atau mengalami emosi ini secara fizikal, seperti berasa peningkatan suhu tubuh atau sesak nafas. Selain itu, mereka mungkin mengabaikan emosi positif seperti keseronokan atau menganggap remeh perasaan kompleks dengan melabelnya sebagai ‘kebosanan’.
Cabaran ini juga mempengaruhi cara mereka memahami dan bertindak balas terhadap emosi orang lain. Mereka mungkin tidak perasan apabila seseorang keliru atau kecewa, atau mereka mungkin tersilap anggap bahawa kesusahan seseorang adalah kemarahan yang ditujukan kepada mereka.
Mengenali emosi diri adalah penting untuk kejayaan pergaulan dengan orang lain. Langkah pertama adalah membantu kanak-kanak memperhati emosi ini pada orang lain dan kemudian mengajar mereka untuk mengenali emosi yang sama dalam diri mereka.
Penyelidikan menunjukkan bahawa dengan aktiviti dan sokongan yang betul, kanak-kanak dan orang dewasa autisme boleh belajar memahami dan bertindak balas terhadap emosi dengan lebih baik, yang membawa kepada perbaikan interaksi sosial.
Mengenali Emosi
Membantu kanak-kanak autisme menyedari emosi diri mereka dan orang lain adalah langkah pertama dalam mengajar mereka tentang perasaan.
Mulakan dengan emosi asas: kemarahan, rasa jijik, ketakutan, kebahagiaan, kesedihan dan kejutan. Semasa perkembangan kanak-kanak sedang meningkat, perkenalkan emosi lain yang lebih kompleks seperti kekecewaan, kehampaan dan keseronokan dengan peralatan bantuan seperti roda perasaan yang telah diubah-suai modified feelings wheel.
Enam jenis perasaan asas mengikut Paul Ekman – Calmerry
Roda perasaan yang telah diubah-suai (modified feelings wheel) – he’s-extraordinary
Berikut adalah beberapa peralatan dan strategi berguna yang boleh memudahkan proses pembelajaran ini:
Peralatan Emosi:
1. Kad Emosi: Kad ini memaparkan gambar wajah, sama ada sebenar atau kartun, yang menunjukkan emosi yang berbeza. Ini boleh digunakan untuk mengajar perasaan asas seperti gembira, sedih atau marah. Senyuman dan wajah kartun yang dibesar-besarkan boleh menjadi permulaan yang berkesan dan sesuai dengan umur kanak-kanak.
Kad visual emosi dan perasaan sebagai alat pembelajaran (Emotions and Feelings Visual Cards for Learning)
2. Cerita Social dan Perbualan Jalur Komik: Alat ini menerangkan situasi sosial kepada kanak-kanak autisme melalui cerita sosial atau komik. Menggabungkan jenis perasaan ke dalam cerita ini boleh membantu anak anda memahami emosi dengan lebih baik.
I feel like Preschool social story about emotions
Gunakan interaksi harian:
Interaksi harian menyediakan peluang semula jadi untuk mengajar anak anda tentang emosi. Berikut adalah beberapa cadangan:
1. Labelkan emosi: Semasa anda menjalani aktiviti harian anda, tunjukkan emosi yang anda dan anak anda sedang hadapi. Contohnya, apabila membaca buku atau menonton TV, anda mungkin berkata, “Lihat, Sara tersenyum. Dia gembira.”
2. Perhatikan emosi anak anda: Bantu anak anda mengenali perasaan mereka sendiri dengan menunjukkannya. Contohnya, “Anda tersenyum. Anda mesti gembira.”
3. Memperlihatkan emosi anda sendiri: Tunjukkan kepada anak anda perasaan anda dengan menekankan emosi anda. Contohnya, “Saya sangat teruja! Beri saya high five.”
4. Kesedaran jasmani: Bantu anak anda menghubungkan emosi dengan sensasi fizikal. Sebagai contoh, “Adik nampak gelisah. Ada rasa tak selesa?”
Inderosepsi (introception) adalah kunci untuk menguruskan emosi dan tingkah laku sendiri secara bebas.
Bagi orang autisme, inderosepsi boleh menjadi terlalu sensitif atau tidak cukup sensitif. Untuk memahami lebih lanjut tentang inderosepsi, sila pergi ke artikel kami tentang Inderosepsi dan Kesedaran Diri dalam Autisme
Permainan dan Aktiviti:
- Lukiskan emosi: Lukis gambar tubuh untuk menunjukkan lokasi yang dirasakan emosi berkenaan, seperti tapak tangan berpeluh atau degupan jantung yang lebih laju. Anda juga boleh menggalakkan anak anda melukis perasaan mereka.
- Jadikan aktiviti permainan:
Gunakan permainan seperti teka-teki emosi atau sandiwara, di mana anda melakonkan emosi yang kemudiannya perlu diteka oleh anak anda melalui air muka anda. (Lihat Aktiviti Emosi (Emotions activities) untuk ide yang menyeronokkan) - Permainan peranan: Permainan yang melibatkan lakonan peranan adalah cara terbaik untuk meneroka emosi bersama anak anda. Gunakan pakaian yang sesuai dengan watak yang dilakonkan, permainan berpura-pura, atau anak patung, untuk membantu mereka meluahkan dan membincangkan perasaan. Mereka mungkin lebih mudah untuk bercakap tentang perasaan Dolly – anak patung mereka – berbanding emosi mereka sendiri. Tanya soalan seperti, “Apa perasaan Dolly?” atau “Mengapa Dolly sedih hari ini?”
- Bermain sememeh (Messy play), melukis atau menconteng: Aktiviti ini membolehkan kanak-kanak meluahkan emosi mereka secara kreatif.
- Persembahan boneka (puppet play), tarian dan muzik: Aktiviti menyeronokkan ini membantu kanak-kanak berlakon dan meluahkan perasaan yang berbeza.
Memahami keamatan emosi
Sebaik sahaja anak anda berjaya mengenal pasti beberapa emosi asas, langkah seterusnya adalah memperkenalkan konsep keamatan emosi.
Peralatan seperti gambar tangga, termometer atau skala Likert (daripada angka 1 hingga 5) membantu kanak-kanak menerangkan emosi mereka dengan lebih tepat. Sebagai contoh, angka 1 pada skala Likert bermakna mereka tidak sedih, manakala angka 5 bermakna mereka terlampau sedih.
Ini membantu kanak-kanak beralih daripada mengenali emosi kepada memahami keamatan emosi mereka. Sebagai contoh, lukis tangga dengan lima bilangan anak tangga:
- Tidak marah — semuanya OK.
- Sedikit marah — seperti terlupa kerja rumah.
- Kemarahan sederhana —apabila seseorang memainkan jenaka berniat jahat.
- Sangat marah— apabila seseorang menolak saya dengan sengaja.
- Terlampau marah— seperti gunung berapi yang akan meletup bila-bila masa apabila seseorang merobek kerja saya.
Minta anak anda menunjuk ke anak tangga yang paling menggambarkan perasaan mereka. Anda boleh menggunakan emoji untuk label (cth, muka tersenyum untuk anak tangga 1, muka marah untuk anak tangga 5) atau termometer dengan tanda aras suhu menggantikan tangga.
Imej disediakan oleh Middletown Centre for Autism
Memahami dan menerima emosi
Anda boleh menyokong penerimaan ini dengan menerangkan bagaimana pemikiran boleh membawa kepada perasaan. Sebagai contoh, anda boleh melukis gambar belon dan berkata, “Jika anda melihat belon dan menyangkakan mungkin meletus, anda mungkin takut. Tetapi jika anda fikir belon ini hanya terapung, anda mungkin gembira.”
Peralatan lain yang berguna adalah menggunakan perbualan jalur komik. Ini menunjukkan watak dengan air muka dan buih pemikiran (thought bubble) yang berbeza, membantu anak anda menghubungkan emosi dengan pemikiran dan tingkah laku. Contohnya, lukis figura kayu (stick figure) anak anda dan rakannya, menggunakan warna yang berbeza untuk menunjukkan perkara yang mereka fikirkan, perkatakan yang digunakan dan perasaan yang dirasakan.
Social stories juga berperanan membantu anak anda memahami bila dan mengapa mereka merasakan emosi tertentu. Cerita ini boleh diperibadikan untuk mencerminkan pengalaman harian anak anda, menjadikan mereka lebih sedar tentang situasi yang mencetuskan perasaan tertentu. Kesedaran ini membolehkan mereka menguruskan emosi mereka dengan lebih baik apabila situasi yang sama timbul pada masa hadapan.
Ia juga penting untuk anak anda mengetahui bahawa setiap orang mengalami pelbagai emosi. Anda boleh menjelaskan, “Adalah perkara biasa untuk berasa gembira, sedih, teruja, atau cemburu. Kadangkala perasaan itu besar, dan kadangkala kecil. Semua perasaan ini OK.” Ia juga mungkin membantu untuk mengingatkan mereka bahawa perasaan besar akan berlalu dengan masa.
Kesimpulan
Sebagai penutup, membantu kanak-kanak autisme mengenal pasti dan memahami emosi adalah langkah pertama ke arah mempelajari cara mengurus perasaan mereka. Apabila kanak-kanak berjaya mengenali emosi mereka sendiri dan juga orang lain, akan memudahkan mereka untuk bergaul mesra dengan masyarakat setempat. Kami akan membincangkan lebih lanjut tentang cara mengurus emosi dalam artikel lain.
Sumber dan bacaan tambahan
2. Kari Dunn Baron. The Incredible 5-point Scale
3. Maria Davis-Pierre (2022) Helping Children With Autism Connect With Emotions. PBS Kids
4. Raising Children Network (2022). Recognising, understanding and managing emotions: autistic children and teenagers.
5. Raising Children Network (2023) Emotions and Play.
6. TPT. Free and paid downloadable resources for teaching children about emotions