Peranan Ahli Terapi Pertuturan Memberi Sokongan

Ahli terapi pertuturan (SLT) adalah profesional kesihatan yang membantu individu dalam pertuturan, komunikasi, suara, dan penelanan/pemakanan. Di Malaysia, dengan kesedaran dan sumber yang semakin meningkat untuk autisme, SLT dapat membantu dalam menyokong kanak-kanak dan orang dewasa autisme dengan mengoptimumkan dan memperbaiki kemahiran tersebut serta meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan.

SLT bekerjasama dengan pasukan yang merangkumi pelbagai disiplin untuk membantu individu autisme mencapai matlamat mereka. Kadangkala, SLT bekerjasama dengan ahli terapi cara kerja (OT) untuk memahami dan menyokong keperluan deria, mengutamakan keinginan orang autisme semasa sesi intervensi untuk memaksimumkan pengalaman membelajar. Selain itu, SLT boleh bekerjasama dengan ahli fisioterapi (PT) untuk mengintegrasikan sasaran komunikasi dan mempraktikkannya ke dalam senaman mobiliti dan terapi untuk meningkatkan fungsi.

Memahami Autisme

Autisme adalah kelainan perkembangan otak (neurodevelopmental disorder) yang mempengaruhi cara seseorang berkomunikasi, berinteraksi dengan orang lain dan mengharungi dunia. Sokongan yang diperlukan oleh individu autisme adalah berbeza, merangkumi kesukaran dengan pertuturan, bahasa dan interaksi sosial.

Sokongan yang Mengiktiraf Kepelbagaian Pemikiran (Neurodiversity)

“Wow, saya tidak tahu anda/anak anda adalah orang autisme!” bukan suatu pujian. Kita kini lebih memahami tentang autisme sebagai kepelbagaian pemikiran.

Sebelum ini, individu autisme diajar untuk bertindak seperti orang umum (neurotypical) (iaitu, mengekalkan pandangan mata, menghentikan tingkah laku tabiat/gerakan tangan dan sebagainya) untuk berkomunikasi dengan berkesan. Pendekatan ini telah terbukti menyebabkan kebimbangan dan boleh membahayakan individu autisme1,2.

Mengamalkan pendekatan yang mengiktiraf kepelbagaian pemikiran bermakna kita memahami bahawa cara komunikasi orang autisme adalah berbeza, tetapi tidak salah.

Intervensi & Pengesanan Awal

Autisme bukanlah sesuatu yang boleh ‘dirawat’.

SLT berusaha untuk menonjolkan perbezaan pada individu autisme sebagai suatu kekuatan daripada menganggap perbezaan ini sebagai ciri yang perlu diperbaiki dan menjadikan tingkah laku mereka seperti orang umum.
Pengesanan dan intervensi awal dapat membantu untuk:
  • Mengenal pasti jenis sokongan yang diperlukan
  • Menyediakan kaedah komunikasi yang diutamakan dan meningkatkan keupayaan komunikasi (contohnya, bertutur, tidak bertutur, atau gabungan keduanya)
  • Memperbaiki bahasa untuk menyatakan keperluan dan perasaan
  • Mengurangkan kekecewaan di sekolah/tempat kerja dan situasi sosial lain
SLT sering menjadi antara profesional kesihatan pertama yang terlibat dalam penjagaan kanak-kanak selepas diagnosa autisme. Mereka menilai keupayaan komunikasi kanak-kanak dan merancang terapi yang sesuai untuk memenuhi keperluan khusus mereka. Walau bagaimanapun, tidak semua individu autisme memerlukan terapi pertuturan, atau memerlukannya dalam jangka masa panjang. Keperluan sokongan mereka adalah dinamik dan mungkin berubah mengikut usia, keperluan situasi sosial, pekerjaan dan faktor lain pada masa hadapan.

Sokongan yang Mengiktiraf Kepelbagaian Pemikiran

Bagi ramai individu autisme, keupayaan komunikasi boleh menjadi cabaran yang amat mempunyai kesan ketara. SLT boleh membantu dalam:

Kemahiran Bermain

Bermain membawa banyak manfaat dan adalah cara kanak-kanak berinteraksi dengan dunia. Tiada cara yang betul atau salah untuk bermain selagi selamat.

SLT bekerja dengan kanak-kanak autisme menggunakan kaedah bermain untuk berhubung, belajar, dan bersantai. Matlamatnya bukan untuk mengajar mereka bermain cara ‘normal’.

Contoh Sasaran Terapi

[Individu autisme] akan terus terlibat dengan menyertai/memerhati/menyalin cara bermain yang lebih pelbagai dengan mainan yang sama (contohnya, membina/ membaling/ menyusun).

Kemahiran Pra-pertuturan & Penglibatan

Kemahiran pra-pertuturan termasuk:

  • Hubungan pandangan mata
  • Meniru
  • Bergiliran
  • Mengongsi perhatian kepada ide/objek yang sama
  • Isyarat air muka/bahasa gerak-geri

Beberapa individu autisme mungkin mempamerkan kemahiran pra-pertuturan dengan cara yang berbeza daripada orang umum. Jika mereka melakukannya dengan cara yang berbeza, tidak bermakna satu kesalahan yang perlu diperbaiki.

SLT menyokong individu autisme melibatkan orang lain berinteraksi dengan kaedah komunikasi pilihan mereka (contohnya, pilihan untuk bertutur atau tidak bertutur).

Komunikasi sosial seperti memulakan, mengekalkan, dan mengakhiri komunikasi juga boleh disokong melalui terapi pertuturan.

Contoh Sasaran Terapi

[Individu autisme] akan memulakan interaksi mengenai minat bersama dengan rakan komunikasi melalui mana-mana kemahiran pra-pertuturan yang disukai (seperti menolak, menarik, mengetuk), semasa pelbagai interaksi sosial, yang diberi 4 daripada 5 peluang.

Kemahiran Komunikasi Berfungsi

Kemahiran komunikasi berfungsi termasuk:

  • Meminta (Saya mahu…)
  • Membantah (Saya tidak mahu…)
  • Berunding (Jika… maka…)

…dan banyak lagi! Fungsi-fungsi ini tidak terhad kepada pertuturan sahaja. Ia juga boleh melalui pesanan teks, menunjuk pada gambar, atau isyarat.

Untuk kanak-kanak yang tidak bertutur atau mempunyai pertuturan yang terhad, SLT boleh membantu menyokong perkembangan bahasa komunikasi berfungsi dengan meneroka pelbagai sistem Komunikasi Penambahan & Gantian (AAC). Ini mungkin termasuk menggunakan bantuan visual, bahasa isyarat, peranti komunikasi, atau campuran sistem-sistem ini.

Contoh Sasaran Terapi

[Individu autisme] akan menyatakan bagaimana mereka berasa dan jika ada apa-apa yang mereka perlukan (contohnya, “Saya rasa cemas. Saya perlukan pemutar fidget (fidget spinner) saya.”), semasa aktiviti imbasan perasaan atau secara spontan, dalam 4 daripada 5 peluang.

Pemakanan

Makanan dan waktu makan boleh menjadi sesuatu tekanan bagi sesetengah individu autisme. SLT bekerja untuk menyokong mereka yang mempunyai kepekaan deria yang melampau, pilihan makanan yang terhad, masalah mengunyah dan menelan, serta kesukaran dengan aspek kesantunan waktu makan.

Contoh Sasaran Terapi

[Individu autisme] akan menyatakan makanan yang mereka suka/tidak suka, apabila diberi pilihan menu, dalam kepelbagaian situasi samada yang terstruktur/tidak terstruktur (dalam 90% peluang yang diberi)

Sokongan Keluarga

Komunikasi adalah dua-hala menyeberangi kedua belah pihak. Selain membantu individu autisme, SLT juga menyokong keluarga individu autisme dengan membina kemahiran dan strategi komunikasi bersama mereka. Oleh kerana ahli-ahli keluarga juga mengambil bahagian yang aktif dalam berkomunikasi, mereka perlu dibekalkan dengan kemahiran ini supaya membantu mewujudkan persekitaran yang konsisten dan membangun bagi individu autisme.

Beban untuk berkomunikasi dan berinteraksi tidak hanya terletak pada individu autisme sahaja.

Persiapan Ke Sekolah

Bagi kanak-kanak autisme, persediaan untuk persekolahan mungkin mencabar kerana sistem persekolahan yang sedia ada tidak mempunyai polisi khusus untuk menyokong mereka berkepelbagaian pemikiran dan deria. Peranan utama SLT dalam persiapan ke sekolah adalah membantu kemahiran berkomunikasi untuk menyelaraskan penyertaan dalam bilik darjah. Fungsi penyelarasan ini termasuk membantu kanak-kanak belajar menyesuaikan keperluan komunikasi mereka (contohnya, memberitahu guru bahawa mereka memerlukan rehat, atau lebih suka berkomunikasi melalui AAC).

Kesimpulan

Peranan SLT dalam menyokong individu autisme adalah penting walaupun tidak semua orang memerlukan perkhidmatan ini. Mereka membantu memperbaiki kemahiran komunikasi, menyokong keluarga, dan mempersediakan kanak-kanak untuk persekolahan dan interaksi sosial.

Penjagaan yang selaras dengan keperluan serta mengiktirafkan kepelbagaian pemikiran dan deria, peka terhadap budaya keluarga adalah aspek penting dalam sokongan SLT.

Matlamat utama adalah untuk membantu individu autisme berkomunikasi dengan baik dan menolong berinteraksi dengan penuh keyakinan, mengikut cara tersendiri mereka. Di waktu yang sama mereka perlu memahami dan memperjuangkan pendirian mereka.

Rujukan

  • Gaddy, C., & Crow, H. (2023). A primer on neurodiversity-affirming speech and language services for autistic individuals. Perspectives of the ASHA Special Interest Groups, 8(6), 1220-1237.
  • Izuno-Garcia, A. K., McNeel, M. M., & Fein, R. H. (2023). Neurodiversity in promoting the well-being of children on the autism spectrum. Child Care in Practice, 29(1), 54-67.

Biodata penulis

Artikel ini ditulis oleh Tay Chia Yi, seorang ahli terapi pertuturan (SLT) yang bekerja di hospital dan seorang pakar dalam penjagaan akut (acute care). Beliau juga bekerja dalam rehabilitasi komuniti dengan NGO, menyokong penjaga serta individu yang hidup dengan demensia. Dengan minat terhadap pendekatan yang mengiktiraf kepelbagaian pemikiran (neurodiversity), beliau menyokong pendekatan terapi yang inklusif, disesuaikan dan penuh empati.

Kini, Chia Yi berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pertuturan-Bahasa & Pendengaran Malaysia (MASH), memperjuangkan hak dan kesejahteraan komuniti orang kurang upaya dan penjaga mereka. Berdedikasi untuk memperkasakan pengalaman hidup kumpulan yang terpinggir, beliau berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif dan membangun, terutamanya dengan memperjuangkan Komunikasi Penambahan dan Gantian (AAC). Beliau juga boleh berkomunikasi dalam Bahasa Isyarat Malaysia (MySL).

Terus berhubung!